NIBONG TEBAL – Tidak ramai yang tahu durian duri hitam yang ‘diburu’ penggemar berikutan rasanya lemak, manis serta sedikit pahit itu sebenarnya berasal dari Sungai Bakap.
Raja segala buah yang lebih dikenali sebagai ochee itu dikatakan telah disemai lebih 40 tahun lalu sebelum ia mula popular pada tahun 2012 dalam kalangan penggemar durian di negara ini.
Pemilik asal benih durian duri hitam, Leow Cheok Kiang, 65, berkata, pokok induk durian duri hitam itu pada awalnya ditanam rakan kepada bapanya selepas membawa balik biji durian yang dimakannya di Thailand.
Jelasnya, sekitar 1980-an lelaki tersebut telah memberi tunas durian tersebut kepada bapanya sebelum ditanam di kebun durian yang diusahakan mereka di Sungai Baong.
“Bagaimanapun pokok yang membiak daripada tunas yang diberikan itu tidak menjadi apabila hasil buahnya rasa yang manis dan isinya tidak mempunyai struktur lemak berkrim.
“Susulan itu, pokok durian tersebut ‘dikahwinkan’ dengan pokok durian kampung tempatan sebelum ia dikomersialkan serta didaftarkan secara rasmi menerusi MARDI dengan Kod D200.
“Memandangkan durian duri hitam diburu ramai penggemar jadi saya jual benih serta tunas kepada pengusaha durian lain agar ia lebih banyak dikomersialkan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Cheok Kiang, kini terdapat ramai pengusaha kebun durian yang memiliki tanaman durian duri hitam namun pokok asal yang berusia lebih 40 tahun itu masih terletak di kebunnya di Sungai Baong.
Mengulas mengenai penjagaan pokok durian bagi menghasilkan buah berkualiti, beliau berkata, penjagaan pokok durian duri hitam memerlukan kesabaran serta kepakaran kerana pokoknya berisiko tumbang sekiranya angin kuat berikutan dahannya mudah reput.
Jelasnya, kualiti buah juga terancam jika terlalu banyak hasil pada pokok sekali gus memerlukan mereka mengait keluar lebihan buah dari setiap pokok.
“Pokok tua berusia puluhan tahun mampu mengeluarkan ratusan buah namun kualitinya kurang membuatkan saya sanggup buang sejumlah buah agar penggemar dapat menikmati rasa durian duri hitam yang sebenar.
“Apa-apa pun rahsia utama penjagaan pokok durian adalah rajin. Kalau kita tidak jaga dengan elok persekitaran kebun majoriti pokok tidak sihat serta berisiko mati,” katanya yang memiliki kebun durian di beberapa lokasi sekitar daerah Seberang Perai Selatan dengan anggaran keluasan hampir 80 hektar. – MalaysiaGazette