Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada media selepas menghadiri pra-mesyuarat kerajaan perpaduan menjelang sidang Parlimen yang bermula esok ketika di Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 JUN 2024.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada semua ahli Parlimen supaya tidak ponteng sesi sidang Dewan Rakyat yang akan bermula esok.

Perkara itu dikongsikan Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada para pemberita selepas mesyuarat pra taklimat Kerajaan Perpaduan sempena sidang Dewan Rakyat bagi Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Kompleks Seri Perdana di sini petang tadi.

“(Mesyuarat) pasal sidang Dewan Rakyat esok, (amanat) supaya semua ahli (Parlimen) hadir, jangan ponteng-ponteng,” katanya ringkas selepas ditanya berkenaan amanat oleh Perdana Menteri pada mesyuarat tersebut.

Terdahulu, sesi mesyuarat pra taklimat Kerajaan Perpaduan sempena sidang Dewan Rakyat bagi Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang akan bermula esok itu berlangsung lebih dua jam bermula kira-kira pukul 4 petang tadi.

Turut dilihat menyertai mesyuarat itu dan meninggalkan bangunan tersebut kira-kira pukul 6.15 petang tadi ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi keluar dari perkarangan Kompleks Seri Perdana selepas menghadiri pra-mesyuarat kerajaan perpaduan menjelang sidang Parlimen yang bermula esok ketika di Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 JUN 2024.

Selain beliau, ahli Parlimen lain ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sesi sidang Dewan Rakyat bagi Penggal Ketiga Parlimen ke-15 disambung semula esok selepas tertangguh sejak Mac lalu.

Sesi Parlimen kali ini bakal menjadi tumpuan berikutan beberapa isu penting dan kritikal yang dijangka diputuskan serta dibahaskan.

Antaranya termasuk berkenaan status enam kerusi milik ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sebelum ini membuat keputusan menyokong Perdana Menteri.

Perhatian kini tertumpu kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sama ada akan mengumumkan kekosongan bagi keenam-enam kerusi Bersatu tersebut selepas Ahli Parlimen berkenaan hilang keahlian partinya atau tidak.

Kelmarin, Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee mengemukakan notis kepada Dewan Rakyat memohon supaya enam kerusi Parlimen dipegang oleh wakil rakyatnya itu dikosongkan.

Kerusi terbabit melibatkan Parlimen Jeli dan Gua Musang di Kelantan; Bukit Gantang dan Kuala Kangsar (Perak), Tanjong Karang (Selangor) dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Selain itu, sidang Dewan Rakyat yang bermula esok juga dijangka panas dengan perbahasan berhubung isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd. (MAHB).

Isu itu dijangka dimainkan oleh pembangkang dalam mendesak supaya Kerajaan Perpaduan menilai semula penyertaan BlackRock memandangkan reputasi firma terbabit yang didakwa turut memperkasakan ekonomi Israel selain pelaburan yang meluas dalam industri senjata Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, turut dijangka berlaku pada sidang Dewan Rakyat kali ini adalah tindakan mengemukakan usul terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan supaya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Difahamkan, usul itu berhubung dakwaan Wan Saiful pada sidang Dewan Rakyat pada 21 Mac lalu berkenaan pertuduhan kes mahkamah yang dikenakan terhadapnya boleh dibatal serta digugurkan. – MalaysiaGazzete