Orang ramai melakukan pemeriksaan kesihatan percuma menerusi program Selangor Saring peringkat DUN Bandar Utama di Pusat Membeli-belah Atria pada 1 Jun 2024. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Orang ramai dipelawa menyertai program saringan kesihatan percuma anjuran kerajaan Selangor pada 29 dan 30 Jun ini.

Exco Kesihatan Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, program itu diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia pada 29 Jun dan Dewan Sri Jugra (30 Jun).

Semalam, program sama berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Bandar Baru, Kuala Selangor.

“Jom ramai-ramai berkunjung ke lokasi program saringan kesihatan di kawasan bandar utama…ambil peluang ini untuk melakukan saringan kesihatan percuma.

“Anda digalak membuat pra pendaftaran menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kerana penilaian faktor risiko setiap individu melalui borang saringan awal di aplikasi tersebut.

“Hubungi Selcare di talian 1800226600 jika mengalami sebarang masalah berkaitan pendaftaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Jamaliah menjelaskan, inisiatif itu menyediakan saringan kesihatan seperti jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi, kanser, mata, telinga dan gigi.

Program tersebut diperkenal bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat. – MalaysiaGazette