ALOR GAJAH – Seorang meninggal dunia manakala tiga lagi individu termasuk seorang bayi perempuan cedera parah dalam nahas jalan raya dipercayai berpunca apabila tayar kereta pecah di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Rembia di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mereka yang parah adalah dua wanita 30 dan 24 tahun serta seorang bayi berusia tujuh bulan yang cedera di kepala.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Nazri Mat Rais berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.04 petang sebelum jentera dengan kekuatan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Proton Saga FLX dan Perodua Bezza.
“Pemandu Bezza, lelaki berusia 33 tahun tersepit berjaya dikeluarkan dan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Melaka oleh ambulans manakala pemandu Saga berusia 30 tahun dan wanita 24 tahun patah tangan.
“Seorang lagi bayi berusia tujuh bulan yang belum dipastikan jantina pula cedera di kepala,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Tambah Mohd Nazri, kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar kereta Perodua Bezza berkenaan yang dalam perjalanan menghala ke Alor Gajah tiba-tiba meletup sebelum memasuki lorong bertentangan.
“Akibatnya, kenderaan itu merempuh kereta Proton Saga FLX Yang sedang menghala ke Melaka menyebabkan mangsa tersepit,” katanya. – MalaysiaGazette