Seramai 280 orang kumpulan pertama jemaah haji yang baru sahaja selamat pulang ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto SADIQ SANI, 24 JUN 2024

SEPANG – Seramai 280 orang jemaah haji yang merupakan kumpulan pertama bagi musim haji tahun ini tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, di sini, kira-kira pukul 9.30 malam ini.

Mereka yang merupakan kumpulan jemaah haji dari Kedah dan Kelantan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, kira-kira pukul 6.40 pagi tadi (waktu Arab Saudi) menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines (MH 8251).

Ketibaan mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Mohd. Na’im Mokhtar; Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Sementara itu, Mohd. Na’im menzahirkan rasa syukur dan amat berpuas hati dengan komitmen TH dalam memastikan segala urusan dan proses haji tahun ini berjalan lancar.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan jemaah haji kumpulan pertama ini selamat pulang ke tanah air.

“Secara umumnya, operasi haji tahun 1445H ini boleh saya katakan sebagai opreasi yang berjaya bermula dari sebelum jemaah haji bertolak ke tanah suci dengan persediaan menghadiri kursus, ketika berada di tanah suci dan sehingga akhirnya tamat ibadah,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, malam ini.

Dalam pada itu, Mohd. Na”im berkata, seramai 18 jemaah haji negara ini dilaporkan meninggal dunia setakat hari ini dengan 90 peratus punca kematian disebabkan serangan jantung manakala selebihnya akibat serangan kuman paru-paru.

Jelas beliau, tiada jemaah haji negara ini meninggal dunia akibat strok haba meskipun kematian akibat cuaca panas melampau di Mekah sepanjang musim haji tahun ini direkodkan melebihi 1,500 orang.

Ujarnya, situasi itu sekali gus menunjukkan jemaah haji Malaysia dijaga dengan baik dan sempurna oleh semua pihak yang terlibat selain menggambarkan tahap disiplin yang tinggi dalam kalangan jemaah haji sendiri yang sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan.

Dalam pada itu, Syed Hamadah berkata, seramai 71 jemaah haji yang mengalami masalah kesihatan dan terlantar di Pusat Rawatan TH sepanjang musim haji tahun ini turut dibawa berwukuf di Arafah.

Ujar beliau, mereka dibawa menggunakan lapan buah bas yang diubah suai melalui program Safari Wuquf sekali gus dipastikan dapat menyempurnakan rukun haji kedua itu.

Bagi musim haji kali ini juga, sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines bagi membawa kesemua jemaah haji pulang ke tanah air bermula hari ini dengan penerbangan terakhir dijadualkan pada 20 Julai depan (Sabtu). – MalaysiaGazzete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast