Dwan Hamid mahu mencipta rekod sendiri iaitu tidur bersama 150 ekor ular selama 14 hari.

KUALA LUMPUR – Selebriti ular Malaysia, Dwan Hamid atau nama sebenarnya Muhammad Ridzuwan Shahul Hamid nekad untuk mencipta rekod peribadi untuk tinggal bersama 150 ekor ular selama 14 hari dalam sebuah akuarium besar.

Dwan, 32, yang mendapat julukan Raja Ular mempunyai alasan tersendiri mahu mencapai rekod tersebut yang turut menjadi impiannya selama ini walaupun menyedari risiko dan bahaya yang boleh mengancam nyawa,

“Saya sudah 15 tahun serius dalam pertunjukan ular dan kalau ikutkan dari kanak-kanak lagi saya dah berjinak-jinak main ular. Saya tidak rasa haiwan itu sebagai musuh atau perlu takut kerana ular juga makhluk Allah yang patut kita sayangi cuma perlu berhati-hati.

“Sepanjang tempoh itu, saya banyak mengikut sifu saya iaitu Amjad Khan yang juga anak kepada Raja Ular Malaysia sebelum ini, Allahyarham Ali Khan Samsuddin.

“Pengalaman pahit manis, jatuh bangun sebagai pemain ular ini, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mencipta rekod saya sendiri iaitu tidur bersama 150 ekor ular selama 14 hari.

“Saya bukanlah hendak menunjuk-nunjuk kebolehan tapi saya ada alasan sendiri kenapa mahu mencipta rekod sedemikian,” katanya yang juga pelakon.

Dwan yang sebelum ini pernah muncul dalam drama Maaf Aku Tak Sempurna, Tanah Kubur dan filem Dollah Superstar turut mengakui mempunyai beberapa ekor ular sawa dan ular tedung yang disimpan di rumah Amjad.

Menurut anak kelahiran Perak ini, niatnya hanya mahu memberi sesuatu yang positif kepada masyarakat terutama generasi muda.

Dwan Hamid juga merupakan seorang pelakon.

“Antara niat saya kejar impian tersebut adalah mahu memberi ilmu pengetahuan dan pembelajaran tentang habitat ular dan haiwan eksotik.

“Dalam masa yang sama memberi peluang orang ramai untuk mendekati dan melihat pelbagai jenis spesis ular melalui pertunjukan ular yang saya jayakan.

“Bukan itu sahaja, apa yang saya usahakan ini juga adalah untuk memupuk semangat cintakan haiwan menggalakkan generasi akan datang agar sentiasa melindungi kehidupan habitat ular dan haiwan eksotik daripada pupus.

“Saya berjaya mencapai impian mencipta rekod tersebut secara tidak langsung ia menjadi salah satu tarikan pelancong dalam dan luar negara.

“Program yang berkonsepkan pendidikan ini juga dapat memupuk rasa cinta kepada alam sekitar yang harus kita jaga,” ujarnya.

Menyedari impian yang ingin dicapai itu memerlukan masa dan prosedur yang ketat. Dwan akur dengan apa sahaja syarat atau kriteria yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Saya tahu dan sedar, banyak perkara yang perlu saya jalani prosesnya termasuklah syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang terlibat.

“Kertas kerja saya pun sudah siap, tunggu lagi mahu mendapatkan kelulusan daripada pihak terbabit serta penajaan dan saya sedang berusaha ke arah itu.

“Saya juga tidak mahu tergesa-tergesa kerana saya yakin kalau sudah rezeki, takkan ke mana,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast