KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Bukan Eksekutif SRC Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yasin mengakui keseluruhan lembaga pengarah tidak pernah mengundang Datuk Seri Najib Razak untuk memberikan nasihat mahu pun pandangan berkaitan pengurusan SRC.
Untuk makluman, Najib yang juga bekas Perdana Menteri pernah menjadi Penasihat Emiratus SRC.
Malah Suboh juga bersetuju dengan cadangan peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa jemputan untuk Najib adalah bagi tujuan menasihati lembaga itu berkaitan perjalanan syarikat.
Muhammad Shafee: Adakah lembaga pernah panggil Datuk Seri Najib sebagai penasihat emiratus untuk meminta nasihatnya mengenai apa-apa perkara berkaitan syarikat?
Suboh: Tidak seingat saya, tidak pernah panggil.
Muhammad Shafee: Mengapa tidak pernah jemput Datuk Seri Najib untuk nasihat lembaga pengarah?
Suboh: Kerana beliau percaya kepada Ketua Pegawai Eksekutif SRC ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamal.
Suboh berkata demikian dalam keterangannya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dalam prosiding kes saman AS$1.8 bilion yang difailkan SRC International (plaintif) terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO,) Nik Faisal Ariff Kamil.
Selain Najib dan Nik Faisal, Suboh telah dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama-sama bekas pengarah lain, iaitu Tan Sri Ismee, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.
SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah dan Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.
Ia memohon perisytiharan semua defendan bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dalam pada itu, Suboh juga mengakui berlaku pelbagai aktiviti jenayah, pemalsuan dan penipuan dalam pengurusan syarikat SRC.
Bagaimanapun, Suboh ‘menyalahkan’ Nik Faisal yang juga kini dalam pelarian dengan mendakwa bekas CEO itu telah berbohong kepada lembaga pengarah mengenai pemulangan dana SRC dari luar negara.
Prosiding ini akan bersambung di Mahkamah Tinggi di sini esok -MalaysiaGazette