Pertembungan dua parti gergasi, Pakatan Harapan(PH) dengan Pakatan Nasional (PN) di Dun Sungai Bakap, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Penduduk memerlukan pemimpin yang boleh membela nasib rakyat serta sentiasa turun padang bagi menyelesaikan masalah.

Itu harapan rata-rata penduduk sekitar Sungai Bakap yang bakal menerima pemimpin baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Menurut Rosdi Abu Seman,49, calon yang bakal diangkat sebagai wakil rakyat DUN Sungai Bakap diharapkan pemimpin yang tidak menininggalkan rakyat ketika dalam kesusahan.

Rosdi Abu Seman. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JUN 2024.

“Kalau ikutkan nak minta bakal wakil rakyat macam-macam agar masalah di kawasan ini dapat diselesaikan. Tapi kebanyakan pemimpin sebelum ini hanya nampak ketika musim pilihan raya setelah menang tiada kelibatnya lagi.

“Jadi, kalau boleh kita tak mahu pemimpin yang bersikap demikian dan harap calon yang bakal dipilih 6 Julai nanti ambil serius perkara sebegini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagi pesara kerajaan, Mat Razak Ghulamdin,72,  pula berharap pemimpin baharu yang dipilih akan berusaha untuk menyelesaikan masalah air yang membelenggu mereka sejak beberapa tahun.

Mat Razak Ghulamdin

“Kawasan perumahan saya di Sungai Duri sering berdepan masalah air dan banjir ketika musim tengkujuh namun sehingga hari ini tiada jalan penyelesaian.

“Kita pilih mereka (pemimpin) untuk suarakan  masalah serta cari jalan penyelesaiannya..jadi tak kisah siapa bakal calon nanti, harap beliau laksanakan tanggungjawab khususnya dalam menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Syauqi Mohd Farid,18, turut berkongsi pendapat serta harapan sama.

Muhammad Syauqi Mohd Farid

“Apa masalah yang membebankan penduduk minta selesaikan segera dan tambah baik prasarana di sini untuk kemudahan penduduk yang terdiri daripada golongan pelbagai usia,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast