Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin dan bekas Ratu Squash negara Datuk Nicol Ann David ketika melancarkan pakaian kontigen Malaysia ke Olimpik Paris 2024.-Foto Instagram Olympicmas. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke temasya pelbagai sukan merupakan tanggungjawab Majlis Olimpik Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, kementerian tidak bertanggungjawab terhadap reka corak pakaian rasmi kontinjen negara ke sukan Olimpik Paris

“Pakaian Rasmi Kontinjen Malaysia ke Temasya Pelbagai Sukan adalah di bawah tanggungjawab Majlis Olimpik Malaysia @olympicmas.

“Ini merupakan hasil kerjasama antara Yonex dan @olympicmas dan ia di luar bidang kuasa @KBSMalaysia @MSNMALAYSIA,” kata Hannah dalam perkongsian di Twitter.

Pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik XXXIII di Paris 2024 telah dilancarkan semalam sempena sambutan Hari Olimpik 2024 yang diadakan di The Exchange, TRX.

Pelancaran disempurnakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin dan bekas Ratu Squash Negara Datuk Nicol Ann David.

Kelengkapan pakaian kontigen direka oleh Yonex Sunrise Malaysia tersebut bertema emas untuk mencerminkan usaha Malaysia yang tidak henti-henti mengejar pingat emas yang sukar dicapai di Sukan Olimpik.

Yonex Sunrise telah menyediakan pakaian rasmi pasukan untuk MOM di semua temasya pelbagai sukan bermula dengan Sukan SEA ke-31 Vietnam 2021.

Bagaimanapun rekaan baju rasmi kontinjen negara itu telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata tidak berpuas hati kerana ia tidak menonjolkan corak belang Harimau Malaya yang menjadi identiti atlet Malaysia.

Ada juga yang membandingkan pakaian rasmi Olimpik terdahulu yang dilihat lebih mengagumkan berbanding rekaan pada kali ini.

Design ni memang buat asal boleh je ke? So ugly macam tak ada bajet,” komen ayperfme.

“Tukarlah design. Buat malu je design. Budak sekolah pun buat jersi lagi lawa design dia,” kata diaryoflidiya.

“Malaysia memang tiada designer. Semuanya saintis,” komen m.azrir.r.

Pengikut Menteri Belia dan Sukan di X turut mengkritik rekaan pakaian tersebut dan meminta ia diubah.

“Sempat lagi nak tukar ni YB. Bendera tu pun letak la warna yang betul. Bangga sikit dengan Jalur Gemilang. Tak perlu warna emas, emas pun kita tak pernah dapat lagi,” komen FA.

“Maaf YB. Dalam sejarah olimpik, kit ni paling buruk. Malap, suram, tak nampak semangat menyala. Vibes road to gold tak nampak. @olympicmas Tolong tukar design! Malu la dengan negara lain. Sukan ni empat tahun sekali kot,” kata arrablla bella.-MalaysiaGazette