Bursa Malaysia Berhad, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Dana-dana asing meninggalkan Bursa Malaysia pada minggu lalu dengan jualan sebanyak RM441.1 juta selepas dua minggu berturut-turut melakukan aliran masuk.

Menurut MIDF Research dalam nota penyelidikannya, pelabur asing menjual setiap hari dalam minggu dagangan yang pendek susulan cuti umum Hari Raya Haji pada hari Isnin.

Pelabur asing menjual sebanyak RM80.3 juta pada hari Selasa, Rabu (RM120.3 juta), Khamis (RM64.7 juta) dan Jumaat (RM175.8 juta).

Sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas ialah produk & perkhidmatan perindustrian (RM130.4 juta), teknologi (RM65.3 juta), dan pengangkutan & logistik (RM64.0 juta).

Manakala sektor yang mempunyai aliran keluar bersih asing tertinggi adalah kewangan, perkhidmatan (-RM529.9 juta), penjagaan kesihatan (RM56.2 juta), dan perladangan (-RM36.4 juta).

Pelabur institusi tempatan kembali kepada belian bersih minggu lepas, berjumlah RM274.0 juta, selepas dua minggu jualan bersih.

Mereka hanya melakukan jualan bersih RM27.9 juta pada hari Khamis manakala membuat belian bersih RM57.5 juta pada hari Selasa, RM66.9 juta pada Rabu dan Jumaat RM177.5 juta.

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur runcit tempatan pula membuat belian bersih minggu lepas pada RM167.1 juta selepas jualan bersih selama dua minggu berturut-turut.

Mereka hanya membuat jualan bersih RM1.7 juta pada hari Jumaat dan belian bersih untuk sepanjang minggu.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) sebanyak +36.1% dalam kalangan pelabur asing dan penurunan masing-masing sebanyak –18.1% dan –11.1% dalam kalangan peruncit tempatan dan pelabur institusi tempatan. – MalaysiaGazette