ANTHONY Loke (duduk di kerusi penumpang) ketika mencuba kenderaan EV9 Kia yang akan digunakan untuk memindahkan penumpang kelas perniagaan Batik Air pada majlis pelancaran perkhidmatan itu di Hotel Sama-Sama, KLIA, Sepang, Selangor hari ini.

SEPANG – Pemilik kenderaan barangan digesa memberi kerjasama dan segera mendaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubdisi (SKDS) 2.0 bagi membolehkan mereka menikmati subsidi diesel oleh kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan sudah memberikan ruang dan masa mencukupi kepada pemilik kenderaan berkenaan untuk berbuat demikian.

“Mereka (pemilik kenderaan) harus mendaftar untuk mendapatkan subsidi, kalau tidak mereka salahkan kerajaan pula, kata kita tidak bagi subsidi dan (disebabkan) kenaikan harga (diesel), mereka naikkan harga (perkhidmatan) pula.

“Jadi, ini tanggungjawab mereka untuk tampil ke depan dan mendaftar di dalam sistem SKDS yang mana harga diesel masih tidak berubah untuk mereka yang memegang kad fleet,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran perkhidmatan pengangkutan penumpang kelas perniagaan Batik Air dengan kerjasama syarikat Kia di Sama-Sama Hotel, di sini, hari ini.

Menerusi perkhidmatan itu, penumpang kelas perniagaan Batik Air akan menikmati pengalaman pemindahan daripada bangunan utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 ke bangunan satelit untuk menaiki pesawat dengan menggunakan kenderaan elektrik (EV) Kia model EV9 bermula hari ini.

Anthony Loke ditanya berhubung pendedahan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh yang mana lebih 180,000 kenderaan barangan didapati masih belum mendaftar di bawah SKDS 2.0 bagi membolehkan mereka menikmati subsidi diesel oleh kerajaan.

Menurut Fuziah, berdasarkan rekod, hanya 209,000 kenderaan kategori itu yang berdaftar di bawah SKDS 2.0 berbanding sebanyak 389,000 kenderaan yang didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya berkenaan isu harga tiket penerbangan antarabangsa yang didakwa kekal mahal, Anthony Loke berkata, kerajaan tidak mempunyai mekanisme untuk mengawal harga tiket penerbangan antarabangsa yang ditawarkan oleh mana-mana syarikat penerbangan.

Jelas beliau, isu itu bagaimanapun boleh ditangani dalam kalangan syarikat penerbangan sendiri dengan mewujudkan lebih banyak tawaran dan persaingan termasuk menambah bilangan pesawat.

“Bila ada lebih pesawat, ada lebih banyak persaingan jadi pelanggan boleh mempunyai banyak pilihan dan sudah semestinya harga tiket penerbangan juga akan berubah mengikut situasi ini,” katanya. – MalaysiaGazzete

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here