Hamzah.

NIBONG TEBAL – Tiada sebarang permohonan permit ditolak setakat ini bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, sebanyak tujuh permit ceramah diluluskan bagi hari ketiga kempen.

“Kesemua permit itu diluluskan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Chong Boo Khim dan tiada permohonan permit yang ditolak.

“Selain itu, sehingga kini juga tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kes melibatkan PRK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, tambah Hamzah, semua pihak dinasihatkan agar tidak menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak dalam tempoh berkempen yang berbaki 12 hari.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang termasuk melakukan khianat atau merosakkan bahan-bahan kempen seperti banner, poster, bendera parti dan sebagainya,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here