Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk menolak penyertaan Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki sepenuhnya BlackRock Inc. dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) jika konsisten perjuangkan Palestin.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, adalah penting untuk kerajaan tidak membenarkan entiti yang terlibat dengan pembunuhan beramai-ramai bertapak di Malaysia.

“Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB dalam satu kenyataan bertarikh 20 Jun 2024, secara jelas menamakan BlackRock sebagai institusi kewangan yang melabur dalam syarikat-syarikat pengeluar senjata yang membekalkan senjata kepada Israel.

“Menurut kenyataan tersebut, kegagalan BlackRock untuk memutuskan hubungan dengan pengeluar senjata tersebut bermakna BlackRock terbabit secara langsung dalam kesalahan pelanggaran hak asasi manusia di Gaza.

“Tersirat dalam kenyataan PBB ialah kewajipan bagi negara anggota untuk memberikan tekanan, dengan apa-apa cara yang ada, kepada pihak yang terlibat dalam atau membolehkan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, agar menghentikan tindakan mereka serta-merta,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, Malaysia sebagai negara anggota perlu menyahut seruan yang dibuat oleh PBB dalam menghentikan keganasan Israel di Gaza.

Tambah beliau, semua pihak harus bertindak secara kolektif untuk menyekat Zionis daripada terus melakukan jenayah kemanusiaan terhadap warga Palestin.

“Salah satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan tidak mengadakan sebarang kerjasama atau melabur dalam entiti yang terlibat dalam jenayah Israel.

“Ini sepatutnya menjadi asas yang jelas kepada keputusan untuk tidak membenarkan BlackRock terlibat dalam MAHB, iaitu sebuah aset negara kita yang strategik.

“Sehubungan dengan itu, kami menggesa Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan untuk membuat keputusan yang betul dan wajar dengan menolak penglibatan Blackrock dalam pemilikan MAHB, sekaligus menjunjung komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia dan tadbir urus beretika,” kata beliau.

Sejumlah 37,000 rakyat Palestintermasuk bayi, kanak-kanak dan oranng tua maut akibat serangan berterusan Israel selama lapan bulan sejak Oktober tahun lalu.

Israel turut memusnahkan hospital, universiti, sekolah dan pusat pelarian yang diselia oleh agensi PBB.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast