LIM LI WEN (kanan) melafazkan syahadah yang dipimpin oleh Zolkifllly Md. Lazim di sebuah premis di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

PERMATANG PAUH – Bagi seorang saudara baharu yang bekerja sebagai penyelenggara pendingin hawa, Lim Li Wen, 36, cita-citanya  untuk memeluk Islam telah sekian lama akhirnya menjadi realiti.

Ini kerana, ketika berusia enam tahun lagi, dia telah mengenali Islam dan menyertai rakan-rakan sekampung untuk berkhatan.

Tindakannya berkhatan bersama rakan-rakan sebaya ketika tinggal di Balik Pulau, Pulau Pinang itu bagaimanapun dirahsiakan dari pengetahuan ibu bapanya.

“Saya kenal ramai rakan-rakan Islam di kampung. Dari cara hidup mereka, saya begitu senang sekali. Ketika berusia enam tahun, saya ikut rakan-rakan sebaya sekampung dengan sukarela untuk berkhatan secara kampung.

“Semuanya berjalan lancar. Tak sakit pun. Malah tindakan berkhatan itu juga untuk menjaga kebersihan diri.

“Selepas berkhatan, ibu bapa saya langsung tidak tahu. Saya dapat sembunyikannya  termasuk ketika mandi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Li Wen ditemui selepas melafazkan syahadah yang dipimpin oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim di sebuah premis.

IKUT merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menjalankan aktiviti membantu golongan mualaf dalam memulakan kehidupan baharu sebagai seorang muslim.

Menceritakan lebih lanjut, Li Wen memberitahu, selepas berkhatan, dia mendapati kehidupannya lebih terurus terutama daripada segi kebersihan.

“Bapa meninggal dunia 10 tahun lalu  dan bapa hingga akhir hayatnya tidak mengetahui bahawa saya telah berkhatan. Selepas itu baharu saya beritahu ibu bahawa saya telah berkhatan sejak kecil lagi,” katanya yang cacat penglihatan mata kanan sejak lahir lagi.

Di samping itu, Li Wen berkata, sejak sekian lama dia memang berhasrat untuk memeluk Islam namun tercari-cari cara yang sesuai selain mendapatkan bantuan pihak berkenaan bagi memberi tunjuk ajar yang betul.

“Akhirnya, seorang kawan memperkenalkan saya kepada pertubuhan IKUT. Selepas melafazkan syahadah, baharu saya tahu untuk peluk Islam bukanlah sesuatu yang sukar sebaliknya ia amat mudah dan tidak pula banyak prosedur untuk mendaftar menjadi seorang muslim,” katanya yang masih belum menemui bakal calon isteri dan kini menetap di Georgetown.

Menjawab pertanyaan, Li Wen memberitahu, antara yang menarik hatinya untuk peluk Islam ialah tanggungjawab untuk menjaga ibu walaupun berlainan agama.

Menurutnya, disebabkan itu dia kerap pulang ke rumah ibunya yang berusia 60-an untuk memastikan makan minum serta kehidupannya sentiasa terurus.

“Semasa saya bekerja dan tidak pulang ke rumah, anak saudara saya akan bersama ibu saya,” katanya.

Mengenai perasaannya selepas mengucapkan syahadah, Li Wen kini merasa lebih tenang dan gembira.

“Lepas ini saya akan maklumkan pada ibu bahawa saya sudah memeluk Islam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast