KUALA LUMPUR – Seramai 30 orang mahasiswa Universiti Malaya (UM) telah menyantuni gelandangan dalam program Sentuhan Kasih di kawasan Chow Kit baru-baru ini.
Program itu merupakan anjuran bersama 20 orang sukarelawan dari sebuah organisasi yang sering memberi bantuan kepada golongan gelandangan iaitu MyHeal.
Menurut Pengarah Program, Muhammad Farid Izzuddin, sukarelawan secara tidak langsung mencipta peluang untuk menambah pengalaman dalam mendekati segmen masyarakat gelandangan.
“Segala luahan yang dikongsi mereka dapat dijadikan pengajaran serta pedoman dalam hidup dan sebagai manusia, kita boleh memupuk rasa empati, sikap ihsan dan keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara.
“Dalam program ini, pelbagai aktiviti telah diadakan seperti makan beramai-ramai, sesi perkongsian rohani bersama Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam UM, Dr. Abdul Aziz Rekan, Street Dakwah yang dilakukan pendakwah bebas Ustaz Darwis serta Santai Sekejap dianjurkan khusus untuk kanak-kanak,” katanya.
Abdul Aziz berkata, program itu telah meyakinkan mahasiswa proses pembelajaran tidak terhad di dewan kuliah sahaja sebaliknya membantu mereka keluar dari kepompong dan belajar realiti kehidupan sebenar di ibu kota.
“Hal ini juga dapat melatih mahasiswa untuk mempraktikkan secara langsung apa yang dituntut sebagai seorang Islam.
“Dalam kesempatan ini, saya ingin mengungkapkan rasa kagum dengan komitmen para sukarelawan dan saya harap program sebegini dapat menyuntik semangat untuk menjadi lebih baik dalam mengejar segala impian mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette