Ustaz Don Daniyal Don Biyajid

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla di negeri itu bagi menangguhkan atau tidak mengundang Ustaz Don Daniyal Don Biyajid untuk mengajar agama Islam atau perkara tentang agama Islam di premis masing-masing.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan ini dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor amat berkenan dan menekankan kepada para pemegang tauliah agar umat Islam di Negeri Selangor dapat diberikan kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam.

“Sehubungan itu, JAIS perlu menghentikan perkara seumpama ini dengan segera supaya tidak berleluasa di Negeri Selangor berkaitan apa jua bentuk pandangan-pandangan dan pernyataan tentang hukum-hakam agama Islam yang tidak berasaskan nas dan dalil yang sahih serta di luar pengetahuan umum majoriti umat Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Mesyuarat Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama islam Selangor (MAIS) memutuskan Ustaz Don Daniyal perlu mengemukakan kenyataan bertulisnya kepada jawatankuasa terhadap beberapa fakta tentang ceramah agama yang dibuat olehnya selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap beliau.

Berdasarkan beberapa aduan yang diterima oleh pihak Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS, satu kertas siasatan juga dibuka terhadap Ustaz Don Daniyal Bin Don Biyajid di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Menurut Mohd Shahzihan, JAIS berharap semua pihak di Selangor dapat berkerjasama dan akur serta dapat mematuhi arahan yang dikeluarkan 21 Jun lalu itu sehingga Jawatankuasa Tauliah MAIS membuat keputusan muktamad tentang kedudukan beliau sebagai pemegang tauliah mengajar majlis tersebut. – MalaysiaGazette