Malissa (kiri) memberi penerangan mengenai hab fesyen Juma’ani Pavilion yang menjadi antara destinasi wajib dikunjungi pelancong untuk membeli pelbagai produk kraftangan, kasut, tekstil, makanan dan aksesori dihasilkan daripada pelbagai etnik masyarakat Bumi Kenyalang.

KUCHING – Hab fesyen yang memasarkan produk warisan seni dan budaya tempatan dihasilkan anak Sarawak, Juma’ani Pavilion menjadi antara destinasi wajib dikunjungi pelancong khususunya dari tanah Semenanjung Malaysia.

Uniknya di sini, ia menjadi pusat sehenti menawarkan pelbagai produk termasuklah kraftangan, tekstil, makanan, aksesori daripada pelbagai etnik masyarakat Bumi Kenyalang itu.

Pengunjung pastinya teruja melihat sendiri koleksi seperti pakaian moden dengan sentuhan tradisi komuniti usahawan tempatan antaranya songket, tudung keringkam, beg tangan, kasut, baju batik, T-Shirt, beg rotan, rantai manik dan pelbagai jenis makanan tradisional.

Pengurus Besar Centexs Commercial (Centexs), Mohamad Shahren Mohamad Yusri berkata, semua jenis produk yang turut dihasilkan graduan serta alumni Centexs akan melalui proses inovasi sekali gus menepati citarasa masyarakat B40 dan T20.

Mohamad Shahren Mohamad Yusri

“Sebagai contoh, ada produk kraftangan kita yang dijadikan beg komputer riba selain beg mini berharga antara RM50 hingga lebih RM100 mengikut jenis bahan dan masa untuk disiapkan.

“Malah untuk memartabatkan pemakaian songket, penjawat awam juga boleh membelinya secara ansurans yang berharga antara RM2,500 hingga RM50,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis kunjungan petugas media daripada Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) diketuai pengerusinya, Amir Mamat sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di sini baru-baru ini.

Produk kraftangan yang melalui proses inovasi menjadi beg komputer riba dihasilkan Kaum Iban yang merupakan kumpulan etnik terbesar di Sarawak adalah antara tarikan yang terdapat di Juma’ani Pavilion

Kunjungan disambut Ketua Unit Pemasaran, Media dan Perhubungan Awam Centexs, Malissa Sahari.

Mengulas lanjut, Mohamad Shahren berkata, Juma’ani Pavilion juga membuka peluang kepada golongan ibu tunggal untuk menambah pendapatan bekerja dengan mereka.

“Modul perniagaan daripada kerajaan negeri Sarawak ini terbuka kepada semua namun perlulah melalui proses temuduga bagi memastikan mereka menepati keperluan industri dan pasaran.

“Centexs menyediakan platform Juma’ani Pavilion ini untuk mana-mana usahawan kecil untuk memasarkan produk mereka sehinggalah menjadi nama besar di persada dunia,” katanya.

Selain itu, tingkat satu bangunan Juma’ani Pavilion turut menempatkan sebuah makmal untuk kegunaan pelatih dan pereka tempatan bagi merancang, mencipta, mereka bentuk dan melakar rekaan yang bakal dihasilkan

“Dengan segala kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan di hab fesyen ini, ia dijangka mampu memberi manfaat kepada ramai usahawan fesyen dan tekstil.

“Ini sekali gus memartabatkan seni warisan ke peringkat global melalui pengeluaran produk berskala besar, penjenamaan, pembungkusan dan pemasaran yang efektif,” katanya. – MalaysiaGazette