NIBONG TEBAL – Polis tidak menerima sebarang laporan membabitkan isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R) sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang bermula sejak Sabtu lalu.
Jurucakap Polis Pulau Pinang bagi PRK DUN Sungai Bakap, Senior Asisten Komisioner W. Puspanathan berkata, pihaknya berpuas hati dengan kerjasama semua pihak bertanding yang mematuhi ketetapan dikeluarkan setakat ini.
Bagaimanapun polis akan terus memantau kempen dan ceramah calon bertanding termasuk di media sosial bagi memastikan mereka mematuhi ketetapan dikeluarkan.
“Saya percaya kematangan ahli politik dan penyokong lebih baik dan sehingga kini tiada timbul sebarang provokasi mahupun kekecohan yang mengganggu ketenteraman awam.
“Jadi kita minta semua pihak teruskan sikap ini sehingga hari pengundian.
“Kita juga harap calon yang bertanding dan para penyokong parti agar mematuhi nasihat, peraturan dan arahan yang telah ditetapkan oleh polis dan Suruhankaya Pilihan Raya (SPR),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di sini hari ini.
Tambah Puspanathan, sejak bermula hari berkempen Sabtu lalu sehingga semalam, pihaknya telah menerima 17 permohonan permit kempen, ceramah dan kesemuanya diluluskan.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette