Keadaan motosikal mangsa yang remuk. Gambar ihsan IPD Maran

KUANTAN – Seorang pemuda maut setelah motosikal ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah lori penuh muatan kelapa sawit di Maran malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Deputi superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku di Kilometer 44 Jalan Maran/Jengka-Jerantut itu pada pukul 9.23 malam.

“Kejadian berlaku pada pukul 7.15 petang ketika lori muatan kelapa sawit jenis Daihatsu itu dari arah Ladang Sawit Ulu Jempol menghala ke Felda Ulu Jempol.

“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika lori sedang keluar simpang, motosikal itu dari arah Bandar Jengka menghala Maran yang sedang bergerak lurus melanggar bahagian belakang sebelah kiri lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal itu, Ahmad Akmal Hafiz Azmi, 22 cedera dan dibawa ke Hospital Jengka untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, Mohamad Zamri memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan hospital tersebut pada pukul 1.40 pagi semasa menerima rawatan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kecuaian pemandu lori berusia 47 tahun yang memandu lori keluar simpang secara melulu sehingga mengakibatkan kemalangan,” tambahnya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette