KUALA LUMPUR – Malaysia telah menunjukkan peningkatan positif setelah berjaya dinaik taraf ke Tahap 2 (Tier 2) dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) berkaitan isu pemerdagangan manusia tahun 2024 yang diumumkan semalam.
Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN), kejayaan itu merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak dalam menjayakan agenda membanteras pemerdagangan manusia.
“Sebelum ini, Malaysia berada pada Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watchlist) dan kali terakhir berda di Tahap 2 adalah pada tahun 2017.
“Tiga fokus utama dalam mencorakkan hala tuju pelaksanaan usaha negara adalah mempertingkatkan kerjasama antara agensi, memperhebat usaha mengenalpasti serta melindungi mangsa dan menambaik baik proses pendakwaan,” katanya.
Laporan itu turut menggariskan 16 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan untuk penilaian berikutnya bermula 1 April lalu hingga 31 Mac 2025.
“Selain itu, JNAS turut membuat penambahbaikan baharu di mana mangsa akan diberikan perkhidmatan tanpa perlu menyertai sesuatu prosiding jenayah.
“Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui KDN bersama kementerian dan agensi yang lain akan terus memberikan komitmen bukan sahaja membanteras pemerdagangan manusia tetapi juga penipuan pekerjaan dan pengabaian pekerja.
“Justeru, kami mengalu-alukan mereka, terutamanya pihak berkepentingan dari agensi kerajaan atau bukan kerajaan yang ingin bekerjasama dalam membanteras jenayah pemerdagangan manusia di Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette