Bangunan MBSB Bank.

KUALA LUMPUR – MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) telah memulangkan semua wang yang dikeluarkan secara haram daripada akaun pelanggan yang terjejas di Kota Kinabalu, Sabah.

Kes ini membabitkan sindiket yang bersekongkol dengan kakitangan tertentu yang kini ditahan reman oleh polis kerana melakukan pengeluaran haram yang disahkan melalui kad pengenalan palsu.

MBSB Bank dalam kenyataannya berkata, susulan semakan dalaman menyeluruh telah mendorong siasatan awal polis.

Tindakan ini adalah bekerjasama secara aktif dengan pihak berkuasa untuk memastikan penyelesaian yang cepat dan menyeluruh kes pengeluaran haram di Kota Kinabalu.

“Keutamaan kami ialah keselamatan dan kepercayaan pelanggan. Kami sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan pesalah dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

MBSB Bank turut menegaskan ia komited untuk mengekalkan integriti keselamatan perbankan untuk semua pelanggan dan akan terus bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan mereka yang terlibat menerima akibat daripada perbuatan mereka. – MalaysiaGazette