KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mendakwa kes penyeludupan diesel bersubsidi berpunca daripada keterlibatan sebahagian pengusaha stesen minyak di sempadan, yang menjual diesel dalam kuantiti tidak munasabah atau berulang kepada penyeludup.
Justeru, MCW menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menjalankan kajian terperinci, mengenai jumlah diesel yang terjual di stesen-stesen minyak di kawasan sempadan negara.
“MCW juga mencadangkan kajian ini melibatkan perbandingan jumlah diesel yang terjual dalam masa tiga bulan sebelum dan seminggu selepas kenaikan harga diesel yang diumumkan baru-baru ini,” menurut kenyataan MCW hari ini.
Kenyataan MCW itu merujuk laporan media yang menyatakan bahawa beberapa stesen minyak di kawasan sempadan menunjukkan suasana lengang selepas pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel.
“Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai tingkah laku pembelian diesel oleh pengguna terutamanya di kawasan sempadan,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA