Dua daripada empat suspek yang ditahan. Foto: Ihsan PDRM

AMPANG – Empat warga asing, termasuk seorang wanita telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah rumah di Kampung Ampang Indah, kira-kira 6 petang kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan mengenai kejadian itu pada jam 3.10 pagi, 24 Mei lalu.

“Pengadu telah bergegas ke sana sejurus dimaklumkan kakaknya untuk melihat rumah berkenaan dan mendapati ruang tamu dan bilik berselerak serta beberapa barang telah hilang.

“Mangsa mengesyaki kesemua suspek telah pecah masuk melalui tingkap bilik belakang dan gerigi besi yang dipecahkan dan dicabut,” katanya.

Keempat-empat suspek yang berumur dalam lingkungan 23 hingga 35 tahun dipercayai menjalankan modus operandi pecah masuk rumah yang menyasarkan rumah tidak berpenghuni.

“Dalam serbuan itu, kami turut merampas dua telefon bimbit, satu komputer riba, satu tablet, empat jam tangan, satu tali jam tangan dan beberapa pakaian bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamin dan Amphetamin.

“Manakala suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah lampau narkotik.

“Kesemua mereka telah direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 30 Jun ini untuk membantu siasatan,” tambahnya.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang mana seseorang itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebatan jika didapati bersalah. – MalaysiaGazette