Pasukan bomba menjumpai mayat mangsa, Jamaludin Abdul Hamid, 68, dalam keadaan terapung pada jarak kira-kira enam meter dari lokasi selipar mangsa ditemukan di Tasik Biru Chin Chin,Jasin pada pukul 9.18 malam tadi. - Gambar Ihsan JBPM Melaka

JASIN – Keadaan ayam ternakannya yang terbiar dan tidak dimasukkan ke dalam reban seperti kebiasaan membongkar kematian seorang warga emas apabila ditemukan lemas di Tasik Biru Chin Chin, di sini, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Chin Chin, Jasmi Ketol berkata, adalah menjadi kelaziman warga emas berkenaan, Jamaludin Abdul Hamid, 68, yang menetap di Kampung Chenderah memasukkan semula ayam ternakannya ke dalam reban pada setiap petang.

“Bagaimanapun kira-kira pukul 5 petang semalam, penduduk kampung pelik kerana ayamnya masih di luar membuatkan mereka mengesyaki berlaku sesuatu tambahan pula dia tinggal sendirian selepas isterinya meninggal dunia pada 2020.

“Susulan itu kira-kira 30 penduduk kampung keluar membantu mencarinya dan memaklumkan kejadian itu kepadanya yang tinggal di kampung bersebelahan, ” kata Jasmi ketika ditemui di sini malam tadi.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan pengecaman dibuat oleh waris iaitu adik-beradik mangsa serta anak saudaranya. – Gambar Ihsan JBPM Melaka

Menurutnya, kebimbangan penduduk bertambah apabila salah seorang saksi memberitahu terlihat motosikal serta selipar warga emas itu di tebing Tasik Biru kira-kira pukul 9 pagi.

“Sejak isterinya meninggal dunia empat tahun lalu, memang kehidupan Pak Jamal seperti kemurungan membuatkan penduduk sentiasa mengambil berat mengenainya

“Selepas usaha mencarinya menemui jalan buntu, kami terus menghubungi pihak polis dan bomba kerana takut kemungkinan dia lemas di tasik berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Kanan II Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan diterima pada pukul 7 malam.

Katanya seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin dan Melaka Tengah serta lima unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Selepas hampir dua jam operasi, satu mayat ditemukan dalam keadaan terapung pada jarak kira-kira enam meter dari lokasi selipar mangsa ditemui pada ukul 9.18 malam tadi.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan pengecaman dibuat oleh waris iaitu adik-beradik mangsa serta anak saudaranya,”katanya.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Jasin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast