P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Malaysia boleh menjadi contoh sebagai sebuah negara yang tidak bertolak ansur terhadap pembunuhan beramai-ramai  di Gaza jika menolak penyertaan Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock Inc. dalam pembelian saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Pengerusi Urimai, P. Ramasamy berkata, dengan berbuat demikian, Malaysia menunjukkan kepada dunia yang negara ini tidak akan bertolak ansur dengan pelabur asing yang terlibat dalam menyokong dasar genosid Israel terhadap rakyat Palestin.

“Adakah Anwar bersedia untuk memberitahu BlackRock untuk keluar dari Malaysia? Jika (Perdana Menteri Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) boleh melakukan ini, ia akan menjadi tanda solidariti yang benar dan berkekalan dengan perjuangan Palestin.

“Saya ragu Anwar boleh melakukan ini semata-mata kerana Anwar menghargai persahabatan Amerika Syarikat (AS) lebih daripada segala-galanya,” kata Ramasamy dalam kenyataan.

Bekas pemimpin DAP itu menambah, penciptaan negara Israel menandakan bermulanya pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Tegasnya, Israel tidak boleh membenarkan taktik pemusnahan sepenuhnya terhadap rakyat Palestin atas alasan mereka juga menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai semasa Perang Dunia II oleh rejim Nazi, Adolf Hitler.

“Anwar harus menjelaskan kepada rakyat Malaysia negara tidak berada dalam kedudukan ekonomi atau kewangan yang kukuh untuk menangkis pelaburan daripada syarikat yang berpangkalan di AS yang mungkin mempunyai kepentingan ekonomi, kewangan dan strategik di negara Israel.

“Penglibatan awam secara berterusan sama ada kerajaan boleh membenarkan BlackRock atau rakan kongsinya mengambil bahagian yang besar dalam MAHB adalah tidak masuk akal,” katanya dalam kenyataan.

Ramasamy bersetuju dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa syarikat berkaiaan kerajaan yang mengaut keuntungan seperti MAHB tidak harus diswastakan sama sekali.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here