NIBONG TEBAL – Rakyat harus menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini sebagai referendum menyatakan perasaan tidak puas hati dengan pelaksanaan Kerajaan Perpaduan.
Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail berkata, referendum itu juga secara langsung mampu mengikis naratif yang dimainkan pihak lawan kononya rakyat sudah mula menerima Kerajaan Perpaduan.
“Terdapat pelbagai isu nasional membebani rakyat termasuk kos sara hidup yang mana pengundi sendiri sedia maklum dan untuk membuktikan tanda protes, undi perlu diberikan kepada parti bukan kerajaan.
“Kalau depa (Pakatan Harapan) dulu, naik dua kupang (20sen, harga barang) tidur atas jalan (protes) tapi kita tak tidur (atas jalan).Sebaliknya protes dilakukan di peti undi dan itu cara menyatakan bantahan kepada kerajaan yang sedia ada.
“Kalau kita beri kemenangan juga pada kerajaan apa maksud? Depa (kerajaan) rasa rakyat terima apa yang dia buat (pelaksanaan),” katanya ketika ditemui pada Ceramah Kelompok PN di Unita Daerah Mengundi (UDM) Tasek Junjung di sini, malam tadi.
Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan kerajaan tidak berubah sekiranya pembangkang menang, Abidin berkata, objektif mengekalkan kemenangan di Sungai Bakap adalah untuk menjadi pendesak yang kuat dalam DUN.
“Ya kita jadi pendesak (jika menang) andai kerajaan semasa kerajaan susah nak mendesak sebab itu perlunya pembangkang untuk menjadi pendesak yang kuat.
“Selain itu, kita juga mendapati kerjasama yang baik dan fast action (tindakan pantas) daripada agensi-agensi (kerajaan) ketika Allahyarham Abang Zam berkhidmat dan sekiranya diberi mandat selaku wakil rakyat, kita akan jadi pemudah cara untuk menyuarakan kesempitan rakyat.
“Contohnya isu air antara yang depa (kerajaan) take note (ambil perhatian)..jadi isu berkaitan rakyat semua kita akan bawa ke DUN..insya-Allah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa penduduk Sungai Bakap tidak akan membawa sebarang perbezaan sekiranya tetap memilih PN menjadi wakil rakyat pada 6 Julai ini.
“Tiada beza (pengundi) Sungai Bakap nak hantar seorang lagi (wakil rakyat) pembangkang.. lebih baik (beri peluang) kepada calon Pakatan Harapan (PH) mewakili Perpaduan yang mempunyai kelayakan akademik tinggi serta sanggup menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette