KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) telah menjayakan Konsert Muzikal Kanak-Kanak sebagai langkah untuk memupuk minat terhadap seni muzik dalam diri mereka.
Menurut pengarah program, Atirah Faridi, program ini dianjurkan untuk menyediakan pengalaman muzik yang dapat memberi didikan dan hiburan kepada kanak-kanak.
“Kami memberikan fokus dalam memperkenalkan muzik dan instrumen supaya dapat mencungkil minat, membantu mereka menghayati seni muzik serta memberi inspirasi kepada kreativiti pelajar untuk mengekspresikan diri melalui seni dan muzik.
“Konsert ini juga dapat membina apresiasi dan menyediakan persembahan muzik yang berkualiti dan bermakna,” katanya.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FPP, Prof. Madya Dr. Roslee Talip berkata, program ini bukan sahaja dapat memberikan peluang tetapi juga memperkenalkan seni muzik untuk membina kemahiran sosial yang lebih baik dalam golongan kanak-kanak.
“Ibu bapa dapat memberikan peranan penting dalam membentuk keterlibatan kanak-kanak dalam seni muzik sejak kecil.
“Ini secara tidak langsung memberi impak besar kepada pencapaian dan prestasi kanak-kanak dalam membentuk individu yang cemerlang dan berwawasan,” ujar beliau dalam perasmian konsert muzikal di Auditorium Pascasiswazah, UMS.
Konsert itu telah dimeriahkan dengan kehadiran lebih 120 ibu bapa dan kanak-kanak yang datang untuk menyertai pelbagai acara yang berlangsung sepanjang konsert. – MalaysiaGazette