Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) menjangkakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan membuat keputusan mengenai statusnya bersama lima lagi Ahli Parlimen lain, selewat-lewatnya minggu hadapan.

Mohd Azizi berkata, jangkaan itu berdasarkan kepada arahan untuk pihaknya memberikan notis balas yang dikemukakan oleh Johari pada Isnin lalu.

“Kita agak begitulah, kalau ikut pada notis yang kita dapat maklum maknanya parti dah hantar notis kepada pejabat Speaker minggu lalu dan Speaker ada masa 21 hari sebagaimana yang diberitahu, jadi kita jangka minggu depan minggu akhir Parlimen.

“Kita ada terima notis (daripada Johari) dan kelmarin kita dah diberi notis oleh Speaker untuk kita memberi jawapan bertulis dan insya-Allah minggu ini kita akan jawab dan hantar,” katanya kepada MalaysiaGazette di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Azizi menjawab pertanyaan mengenai jangkaan terhadap status dirinya sebagai Ahli Parlimen Gua Musang apabila Johari menjelaskan beliau mempunyai tempoh 21 hari untuk membuat apa-apa keputusan.

Isnin lalu, Johari berkata, beliau sudah menerima notis untuk mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu, Jumaat lalu.

Sebelum ini, Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengemukakan notis kepada Johari, meminta supaya enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.

Ia susulan keahlian mereka digugurkan serta-merta kerana gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Surat arahan itu dikeluarkan Bersatu kepada semua wakil rakyatnya sebelum ini, bagi mereka menzahirkan pendirian berkaitan kesetiaannya terhadap parti, yang dibuat susulan pindaan ke atas Fasal 10 dalam Perlembagaan Bersatu yang sudah pun diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Jun lalu berkata, seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 ADUN Bersatu sudah menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti itu.

Ini bermakna, enam Ahli Parlimen iaitu mereka yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mengemukakan sebarang maklum balas seperti diarahkan Bersatu.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here