Kapsyen: Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam – Perbankan Runcit, Mizan Masram bersama Naib Presiden Pengurusan Akaun Mastercard, Devesh Kuwadekar (kiri) dan Ketua Peniaga Jualan dan Pemerolehan Visa Malaysia, Lim Gaik Lin (kanan) semasa majlis pelancaran Kad Kredit-i Platinum Bank Islam baharu di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melancarkan Kad Kredit-i yang menawarkan pelbagai manfaat dan ganjaran baharu serta boleh disesuaikan dengan gaya hidup pelanggannya.

Menurut Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam (Perbankan Runcit), Mizan Masram, pihaknya kini sedang mentakrifkan semula tawaran kad kredit untuk menggalakkan masyarakat menguruskan kewangan dengan lebih berhemah.

“Program dwiganjaran ini, TruPoints untuk pemegang Mastercard dan pulangan tunai untuk pemegang visa, menyediakan variasi pilihan yang lebih banyak dan bermakna kepada pelanggan.

“Mereka yang menggunakan Platinum Mastercard, dapat menikmati bonanza ganjaran seperti 2X TruPoints untuk transaksi tanpa tunai dan pembelian petrol serta 2X ganjaran TruPoints apabila menggunakan kad di luar negara.

“Pemegang kad Platinum Visa pula boleh berjimat secara mudah untuk setiap transaksi dengan mendapat pulangan tunai sehingga lima peratus untuk setiap pembelian dalam talian dan perbelanjaan ketika menjamu selera serta satu peratus pulangan tunai ketika berbelanja di luar negara,” katanya dalam majlis pelancaran di Grand Hyatt Hotel, di sini, pagi tadi.

Dalam majlis yang sama, Bank Islam turut memperkenalkan rekaan baharu Kad Kredit-i Platinum Bank Islam, diilhamkan dari pergerakan cecair logam sebagai lambang kebolehsuaian terhadap persekitaran yang sentiasa berubah.

“Pelanggan juga boleh memindahkan baki dengan kadar keuntungan kosong peratus dan pembayaran balik dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Sebagai alternatif, pemegang kad boleh memilih tempoh pembayaran sehingga 36 bulan melalui inisiatid Pemindahan Baki dengan hadiah yang menawarkan iPad Air 11’ pada kadar keuntungan 5.88 peratus setahun,” tambahnya.

Setelah pelancaran ini, 300 pemegang kad kredit Bank Islam baharu yang telah mengaktifkan kad mereka pada 31 Ogos akan datang berpeluang untuk menerima pulangan tunai RM50 atau 5,000 TruPoints sebagai hadiah.

“Mereka juga berpeluang untuk memenangi tambahan RM50 atau 5,000 TruPoints sekiranya melakukan lima transaksi dalam tempoh 30 hari,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast