Datuk Seri Ahmad Maslan.- Foto AIZAT ZAINAL, 25 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dikecam kerana mendakwa penganjuran program dan pengumuman peruntukan oleh kementerian atau menteri ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) bukanlah menjadi satu kesalahan.

Menurut Jawatankuasa Pemandu Bersih, tindakan menggunakan sumber dan jentera kerajaan semasa berkempen adalah bertentangan dengan amalan baik pilihan raya di peringkat antarabangsa termasuk Perkara 4(1) Deklarasi Inter-Parliamentary Union (IPU).

Perkara tersebut menyatakan bahawa negara perlu memastikan adanya pemisahan antara kerajaan dan parti bagi memastikan pilihan raya bersih dan adil.

Bersih berkata, pihaknya akan terus menggesa parti-parti dalam Kerajaan Madani terutama daripada Pakatan Harapan yang melaungkan slogan reformasi selama lebih dua dasawarsa untuk mengotakan janji yang dicanang sebelum ini.

“Jangan kalian berterusan mengulangi kesalahan walaupun sudah ditegur sekian kalinya sehingga menjadi seperti arang yang dibasuh dengan air mawar sekalipun, nescaya tidak akan putih.

“Penting untuk ditegaskan keperluan untuk kerajaan Madani menggariskan perancangan reformasi pilihan raya segera berserta garis masa pelaksanaannya dalam tempoh mandat kepimpinan kerajaan yang ada,” katanya.

Sementara itu Bersih turut menafikan kenyataan Ahmad kononnya ‘pihak kerajaan’ tidak pernah kalah ketika ‘pembangkang’ membawa isu pemberian peruntukan semasa pilihan raya ke mahkamah.

“Program-program kerajaan yang melibatkan pemberian sumbangan,seperti dalam kes Dato’ Mohd Zubir bin Embong lawan Datuk Hj Ahmad Amzad bin Mohamed@Hashim, di mana Mahkamah Pilihan Raya pada 27 Jun 2023 telah mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang disandang oleh Ahmad Amzad ketika itu.

“Ini kerana wujud beberapa aktiviti penyogokan dan rasuah termasuk yang melibatkan pemberian bantuan Kerajaan Negeri Terengganu ketika itu,”katanya dalam kenyataan.

Ahmad dalam kenyataan baru-baru ini berkata, isu penganjuran program dan pengumuman peruntukan semasa pilihan raya pernah dibawa ke mahkamah sebelum ini, namun keputusan tidak memihak kepada pembangkang yang mempertikaikannya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast