KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan reman dua penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah secara bulanan berjumlah antara RM1,000 hingga RM2,000 daripada beberapa premis perniagaan sekitar Bintulu bagi melindungi pekerja asing tanpa permit kerja yang sah.

Menurut sumber SPRM, suspek iaitu seorang pegawai wanita dan seorang anggota lelaki berusia 40-an telah ditahan Isnin lalu sekitar 8 malam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM cawangan daerah berkenaan.

Susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Bintulu petang semalam dan perintah reman selama enam hari bermula hari ini sehingga Isnin depan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Galvin Loo Wei Ling.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2022 dan menerima kesemua bayaran secara pindahan akaun bank milik suspek.

“Hasil siasatan setakat ini SPRM telah berjaya merampas wang tunai kira-kira RM30,000 dan barang kemas anggaran RM70,000 dipercayai diperoleh secara rasuah oleh suspek.

“Siasatan sedang dipergiatkan dan tidak menolak kemungkinan terdapat dalang lain yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 28(1)(c) Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette