Sunday, September 29, 2024
Home Nasional Gaji baharu penjawat awam diumum sebelum Belanjawan 2025

Gaji baharu penjawat awam diumum sebelum Belanjawan 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Kadar baharu kenaikan gaji bagi penjawat awam akan diumumkan pada Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman akan dibuat sebelum pembentangan Belanjawan 2025.

Beliau berharap penjawat awam akan bekerja lebih kuat selepas terlalu lama tiada penyelarasan kenaikan gaji kepada golongan itu.

“Kita harapkan mereka (penjawat awam) bekerja lebih kuat, sudah berbelas tahun tak ada kajian dan ganjaran yang adil.

“Sebab itu saya semalam di Parlimen apabila ditegur saya tegaskan saya tidak bertolak ansur kerana tanggungjawab kita untuk memberikan apa yang mampu dan munasabah kepada penjawat awam dan Insya-Allah saya akan umumkan sebelum bajet atau belanjawan tahun ini,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama para hadirin yang hadir pada Majlis Apresiasi 2024 Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konveksyen Antarabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 26 JUN 2024

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya pada Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam yang menyaksikan kenaikan melebihi 13 peratus dan yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara. – MalaysiaGazette