Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan membuat serbuan keatas sebuah premis yang menempatkan pengemis warga asing dalam Ops Selamat di sekitar Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menumpaskan sindiket mengemis menggunakan warga asing dan kanak- kanak di Jalan Sultan Azlan Shah menerusi Op Selamat malam tadi.

Dalam operasi itu, imigresen turut membongkar modus operandi sindiket yang memberikan ubat batuk kepada kanak-kanak berusia antara 10 bulan hingga enam tahun sebelum dibawa oleh warga asing dewasa untuk mengemis di di sekitar Jalan Chow Kit, Masjid India dan Jalan Sentul pada waktu pagi.

Taktik itu terbongkar dengan penemuan ubat batuk di premis rumah kedai yang dijadikan kediaman untuk pengemis.

Sindiket didalangi seorang warga Pakistan yang fasih berkomunikasi bahasa Melayu berjaya dilumpuhkan selepas sebuah bangunan rumah kedai empat tingkat yang menjadi markas operasi sindiket itu digempur pasukan serbuan Imigresen bermula jam 9 malam.

Bangunan rumah kedai empat tingkat itu dijadi penempatan warga asing dari Pakistan, Indonesia dan India dengan bayaran sewa bulanan sebanyak RM800 dengan dilengkapi kemudahan penghawa dingin.

Sebahagian warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dalam serbuan Ops Selamat di sekitar Kuala Lumpur malam tadi. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2024.

MalaysiaGazette mendapati premis bangunan itu dipecahkan dan dijadikan beberapa bilik kecil untuk diduduki kira-kira lapan orang dewasa termasuk kanak-kanak.

Akses untuk menaiki kediaman tersebut turut dikawal ketat oleh sindiket berkenaan dan pengemis dipercayai perlu menyerahkan wang harian yang diperoleh terlebih dahulu kepada ketua sindiket sebelum dibenarkan naik ke bilik masing-masing yang begitu kotor.

Dalam serbuan sama, pasukan imigresen turut membongkar kegiatan sindiket pemalsuan dokumen pasport yang berselindung di sebalik perniagaan kedai dobi, alat telekomunikasi dan kedai gunting rambut itu.

Kewujudan premis perniagaan tersebut dipercayai sekadar taktik sindiket untuk mengkaburi mata pihak berkuasa mengelak kegiatan haram mereka dihidu pihak berkuasa.

Ini kerana, pemeriksaan di dalam tiga premis itu membawa kepada penemuan puluhan dokumen pasport perjalanan disyaki memiliki cop palsu imigresen di ruang belakang premis tersebut.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan yang berakhir kira-kira 12 tengah malam tadi itu dilaksanakan selepas menjalankan risikan selama enam bulan sejak Januari lalu.

Bilik kecil dalam bangunan premis perniagaan yang didiami oleh warga asing yang bekerja sebagai pengemis di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2024.

Katanya, serbuan itu berjaya membawa pasukan imigresen kepada seorang wanita Indonesia, India dan seorang lelaki tempatan yang disyaki ejen kepada sindiket berkenaan.

“Kita juga berjaya menahan seramai 79 warga Pakistan terdiri daripada 44 lelaki, 22 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan yang kesemuanya berusia antara 10 bulan hingga 59 tahun.

“Kesemua mereka yang ditahan telah dibawa ke Depot Tahanan Sementara Imigresen Bukit Jalil untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.

“Kesemua tangkapan berkenaan sedang disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150) untuk tindakan lanjut,” katanya. -MalaysiaGazette

Warga asing wanita dan kanak-kanak turut dicekuo Jabatan Imigresen Wilayah Persekutua dalam serbuan Ops Selamat di sekitar Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2024.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast