Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim

KUALA LUMPUR – Mohd Azizi Abu Naim menjelaskan beliau telah menghantar injuksi bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengumumkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Jumaat depan.

ADUN Nenggiri itu berkata, keputusan terhadap injuksi itu akan diputuskan petang esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Buat masa ini kita mohon perintah injunksi ini untuk memastikan tidak ada pilihan raya. Peguam saya juga sudah masukkan perkara-perkara lain yang boleh atau menghalang keputusan Speaker DUN Kelantan (Datuk Seri Mohd Amar Nik Abdullah) bagi memastikan pengosongan kerusi tersebut.

“Mungkin selepas kita dapat result (keputusan) daripada Mahkamah (Tinggi), maksudnya SPR akan tangguh dahulu pengumuman berkenaan tarikh (PRK),” katanya kepada MalaysiaGazette di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Azizi mengulas pertanyaan media mengenai tindakan SPR yang akan mengumumkan satu tarikh bagi PRK DUN Nenggiri setelah satu mesyuarat berlangsung pada pagi Jumaat depan.

Media sebelum ini melaporkan, Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang ADUN dan Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi yang hilang daripada Bersatu.

Susulan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK DUN Nenggiri Jumaat depan bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.

Ditanya samada beliau akan bertanding sekiranya SPR mengumumkan tarikh PRK bagi kerusi berkenaan, Mohd Azizi berkata tidak ada keperluan untuk berbuat demikian.

Dakwanya, DUN Kelantan telah melakukan beberapa kesalahan dalam mengumumkan kekosongan kerusi tersebut.

“Saya tak nampak untuk kita terus bertanding (PRK DUN Nenggiri) sebab buat masa ini kita maintain (kekal) dengan Parlimen.

“Cuma selaku penyandang di DUN berkenaan, kita cuba sedaya upaya sebab ini mandat rakyat.

“Kalau kita tengok beberapa seksyen kita dapati setelah diberi taklimat oleh peguam kita bahawa DUN Kelantan telah melakukan beberapa kesalahan dalam proses mengumumkan notis tersebut.

“Sebagai contoh, pengisytiharan pengosongan itu tidak buat dalam dewan. Sebenarnya kalau kita tengok di Parlimen, mungkin minggu depan kita akan dengar berkenaan keputusan speaker di Parlimen,” katanya lagi.

Mohd Azizi mendakwa,  Speaker DUN jelas membuat kesalahan apabila membuat pengumuman kekosongan kerusi tersebut di luar DUN.

Katanya, sepatutnya Mohd Amar memberikan notis kekosongan tersebut kepada beliau terlebih dahulu untuk dirinya mengemukakan jawapan kepada notis tersebut.

“Sehingga saat ini kita tidak menerima apa-apa dokumen daripada pejabat speaker mengatakan saya ini telah diisytiharkan kosong, tapi kita dapat info daripada media.

“Kalau mengikut prosedur sebenar, setelah speaker menerima apa-apa dokumen daripada parti, speaker kena maklumkan saya dahulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here