PEKAN – Kerajaan Pahang diminta untuk mempertimbangkan bangunan kuaters guru terbiar di beberapa kawasan di negeri itu dijadikan penempatan Pertubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).
Ahli Dewan Negara, Senator Isaiah D.Jacob berkata, cadangan itu bagi menggantikan sebahagian bangunan usang yang dihuni oleh komuniti pelatih PPDK setelah sekian lama.
Bagi merencana usaha itu, perbincangan dan permohonan lanjut perlu diadakan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada masa akan datang.
”Selain kuaters guru, kita cadangkan bangunan-bangunan lain yang terbengkalai di bawah kerajaan persekutuan dan negeri.
”Kita berharap kerajaan negeri membantu dapat mengenalpasti bangunan itu yang sesuai agar dapat membantu menampung keperluan golongan PPDK,” katanya.
Isaiah berkata demikian ketika Sesi Libat Urus Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Peringkat Negeri Pahang di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Pekan hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Pahang, Khairul Amri Ahmad.
Tambah beliau, pihaknya bersedia untuk mencari dana bagi menampung kos pembaikan dan menaiktaraf bangunan terbengkalai itu sekiranya diluluskan.
Isaiah dalam pada itu berharap agenda pendidikan menjadi modus operandi bagi golongan pelatih PPDK dan dapat diselia semula dan mempertimbangkan dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) supaya golongan ini lebih terbela.
Ini ujarnya penting bagi memastikan anak-anak istimewa terjamin daripada aspek pendidikan dan masa depan, menerokai ilmu serta peluang pekerjaan selain menjaga kebajikan mereka.
”Pada mulanya operasi PPDK ini diletakkan di bawah KPM sebelum ini, daripada KPM kemudian kepada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).
”Jadi lebih baik kalau KPM dapat membantu golongan ini bagi membantu terutamanya aspek pendidikan,” katanya.
Terdahulu pada program berkenaan seramai 109 ahli jawatankuasa dan petugas di 55 buah PPDK di negeri ini terlibat dalam menjayakan sesi libat urus termasuk menubuhkan Persatuan Gabungan PPDK Pahang yang bertujuan menyelaras tadbir urus PPDK dengan lebih efektif dan efisien.
Antara isu yang dibangkitkan berkaitan keperluan penambahbaikan infrastruktur selain garis panduan kadar elaun serta tempoh cuti bagi penyelia dan petugas PPDK.
Ia termasuk usul kepentingan pengurusan kesihatan mental di kalangan petugas, pelatih, penjaga dan mempertimbangkan permintaan dan keperluan pusat komuniti bagi anak syurga tersebut di Pahang yang dilihat semakin meningkat.
Untuk rekod PDK telah ditubuhkan sejak tahun 1984, dan kini seramai 1,496 orang pelatih PPDK membabitkan 273 orang petugas di semua 55 buah institusi itu di Pahang. – MalaysiaGazette