MELAKA – Kurang dua jam selepas videonya mengenakan caj tambahan 10 sen setiap RM10 penggunaan kod QR tular,  peniaga di medan selera berkenaan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.

Serbuan pukul 10.40 pagi tadi diketuai Pengarahnya Norena Jaafar susulan pendedahan ekslusif MalaysiaGazette mengenai kesalahan dilakukan peniaga berkenaan.

Menurutnya, hasil semakan mendapati peniaga wanita berkenaan mengaku mengenakan caj 10 sen bagi setiap RM10 pembayaran secara atas talian kod QR.

“Peniaga berkenaan memberi alasan caj satu peratus itu dikenakan pihak bank terhadapnya sebelum dia ‘memindahkan’ kos itu kepada pelanggan tanpa sebarang notis pemakluman awal.

“Bagaimanapun hasil semakan kami, pihak bank mengesahkan tiada sebarang caj tambahan dikenakan terhadap peniaga terbabit seperti didakwa,” katanya.

Kurang dua jam selepas videonya mengenakan caj tambahan 10 sen setiap RM10 penggunaan kod QR tular,  peniaga di medan selera berkenaan diserbu KPDN Melaka.

Tambahnya, susulan itu peniaga berkenaan dikenakan kompaun RM200 kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Terdahulu, MalaysiaGazette hari ini melaporkan seorang peniaga di Medan Selera Jalan Tun Ali, Kampung Morten di sini mengenakan caj tambahan 10 sen bagi setiap RM10 harga makanan jika dibayar secara imbasan kod QR.

Ketika tinjauan, wartawan dikenakan caj tambahan 10 sen untuk harga makanan RM3.70.

Norena Jaafar

Seorang pelanggan lain ketika ditemui berkata, dia terpaksa membayar RM14.20 untuk harga sarapan pagi walaupun harga makanan dinikmati adalah RM14.

Mengulas mengenai tindakan dilakukan peniaga terbabit, Norena berkata ia adalah merupakan satu kesalahan dan pihaknya akan membuka satu kertas siasatan.

“Saya ingin menegaskan kenaikan sebegini tidak boleh dijadikan alasan susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar sejak awal bulan ini.

“Semua peniaga diingatkan agar mematuhi undang-undang dan tidak menaikkan harga sewang-wenangnya dengan memberi alasan tidak munasabah,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

Nak ‘scan’? Bank suruh caj 10 sen setiap RM10 – Peniaga