Majlis Belia Selangor (MBS)

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Selangor (MBS) menyifatkan keputusan Malaysian Football League (MFL) yang mengenakan denda terhadap Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) sebagai tidak adil.

Presidennya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, langkah MFL memberi risiko lebih besar kepada masa depan industri bola sepak negara termasuk mencemarkan imej sukan itu.

“MBS berpandangan hukuman yang dikenakan adalah tidak adil. Semangat kesukanan seharusnya dikedepankan oleh semua pihak nampaknya telah pudar dan pada masa yang sama.

“Keputusan MFL ini hanya merosakkan imej sukan bola sepak tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Sultan Selangor menzahirkan kemurkaan susulan keputusan ahli-ahli MFL serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih, 10 Mei lalu.

Selain itu, Imran juga menyokong pendirian Kerajaan Negeri Selangor yang menyifatkan keputusan MFL sebagai tiada empati selepas mengenakan denda kepada Selangor FC, sambil menambah hukuman dengan memaksa perlawanan di Selangor (LS14) dimainkan tanpa penonton.

“MBS turut menyokong cadangan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor serta usaha murni dan inisiatif pelbagai pihak bagi mengumpul dana untuk membayar denda yang dikenakan,” katanya.

Sehubungan itu, Imran menggesa seluruh masyarakat, khususnya rakyat Selangor menyatakan solidariti kepada Selangor FC dengan membeli barangan seperti cenderahati, jersey asli dan tiket perlawanan.

“Sebagai tanda sokongan, ayuh bersama Selangor FC dan turun padang sebagai tanda hadir bagi menyaksikan perlawanan Selangor FC di stadium mahu pun di media sosial dengan tanda pagar #MKLK – Merah Kuning Lambang Kebanggaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here