Antara penduduk Kampung Sungai Baru yang hadir ketika sidang media mengenai kenaikan pampasan mereka di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 26 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Kerajaan dituntut untuk untuk bertanggung jawab terhadap pampasan pengambilan tanah baki lebih 100 penduduk Kampung Sungai Baru dekat Kampung Baru di sini.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mendakwa, ini kerana kerajaan telah melakukan kesilapan apabila menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960, selain menetapkan penilaian hartanah yang rendah.

Susulan itu, kerajaan digesa mencari penyelesaian yang tuntas dan tidak berselindung di sebalik tatacara dan peruntukkan undang-undang ke atas baki penduduk Kampung Sungai Baru.

“Kerajaan telah melakukan kesilapan iaitu memindahkan penduduk dan mereka menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang sebenarnya tiada menghasilkan keputusan yang betul.

“Kesilapan terakhir yang kerajaan perlu bertanggungjawab adalah penilaian harga tanah yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH) yang meletakkan harga RM450 hingga RM650 kaki persegi (kps).

“Malangnya kita nampak tiada rundingan dengan penduduk dan pemilik yang tidak bersetuju tidak datang bertanya. Kerajaan terus gunakan akta tersebut, guna kuasa mereka dan rampas tanah penduduk.

“Jadi saya letakkan kesalahan ini pada kerajaan kerana isu penilaian hartanah tidak ditangani dengan cara Kerajaan Madani. Jika nampak tidak adil, kerajaan perlu ambil tindakan dan perbetulkan segera,” katanya dalam sidang media di Kampung Sungai Baru di sini hari ini.

Khalid Samad bercakap pada sidang media mengenai kenaikan tuntutan pampasan penduduk Kampung Sungai Baru di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 26 JUN 2024

Mengulas mengenai isu penilaian semula pampasan tanah, beliau yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara berkata, perkara itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

“Saya beritahu pada beliau, perlu dibuat penilaian hartanah baharu yang lebih adil terhadap baki penduduk yang tidak bersetuju.

“Anwar beritahu jika rundingan semula dibuat dengan kumpulan penduduk itu maka perbincangan juga perlu dilibatkan dengan kesemua penduduk yang telah bersetuju.

“Saya mahu tegaskan, nasihat diberikan oleh peguam Anwar adalah tidak betul. Ini kerana tawaran pemaju kepada pemilik yang bersetuju nilainya adalah di antara RM1,500 hingga RM1,800 kps.

“Selain mereka diberikan pampasan berbentuk hartanah sekitar RM1.02 juta sedangkan kumpulan baki yang tidak bersetuju hanya menerima RM450 kps.

“Ini bermakna kalau kadar pampasan dinaikkan maka tiada keperluan pendudk yang bersetuju dilibatkan dengan rundingan semula itu kerana mereka telah mendapat kadar yang tinggi,” jelasnya.

Ujar beliau, seramai 72 pemilik rumah flat, 37 rumah teres serta 32 pemilik rumah yang tidak menerima warta masih menuntut pampasan mereka.

“Mereka tidak menolak pembangunan di situ tapi menuntut pampasan yang munasabah sekurang-kurangnya 60 hingga 70 peratus daripada kadar bayaran diterima penduduk awal yang menyokong pembangunan projek tersebut.

“Saya juga akan memohon sekali lagi kepada perdana menteri untuk campur tangan berkenaan penilaian hartanah semula pada mereka yang terjejas ini dan mencari penyelesaian yang adil,” ujarnya. – MalaysiaGazette