Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM40.4 bilion aliran masuk bersih pelaburan asing (FDI) ke Malaysia direkodkan bagi tahun 2023 manakala pelaburan di luar negeri (DIA) mencatatkan RM40.6 billion pada tahun yang sama.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, aliran masuk FDI pada 2023 menyusut daripada RM75.4 bilion pada tahun sebelumnya terutamanya dalam ekuiti dan dana pelaburan saham, mencerminkan ekonomi global yang perlahan.

“Ini selaras dengan laporan Pemantauan Trend Pelaburan Global UNCTAD 2024 yang menekankan aliran FDI ke negara-negara membangun menurun lebih kurang sembilan peratus berjumlah AS$841 billion pada tahun 2023. Khususnya, rantau Asia yang sedang membangun menurun sekitar 12 peratus kepada AS$584 bilion, dengan FDI ASEAN menurun kira-kira 16 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, menurut Mohd Uzir, nilai kumulatif FDI meningkat kepada RM926.0 bilion pada akhir 2023, menyumbang 50.8 peratus (2022: 49.0%) daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), terutamanya disebabkan oleh kategori-kategori bukan transaksi.

Sementara itu, DIA pula mencatatkan penurunan dalam aliran keluar bersih daripada RM62.8 bilion pada tahun sebelumnya, manakala kedudukan DIA meningkat kepada RM664.4 bilion, mewakili 36.4 peratus pada 2022 iaitu 33.8 peratus daripada KDNK.

Katanya, secara purata, pulangan pelaburan (ROI) bagi syarikat-syarikat FDI pada tahun 2023 menurun daripada RM0.12 pada tahun sebelumnya kepada RM0.10 bagi setiap RM1 pelaburan.

“Aliran keluar bersih DIA terutamanya disumbangkan oleh sektor
Perkhidmatan bernilai RM34.5 bilion, terutamanya dalam aktiviti kewangan & insurans/takaful dan utiliti,” ujarnya.

Sementara, katanya, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama DIA dengan mendaftarkan jumlah terkumpul sebanyak RM461.1 bilion pada 2023, diikuti perlombongan dan kuari (RM80.5 bilion) serta pembuatan (RM60.0 bilion),” katanya.- MalaysiaGazette