Antara 106 kontena yang disyaki mangandungi sisa elektronik (e-waste) dan skrap logam haram yang berjaya dibanteras oleh pihak Kastam ketika di Westport, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 JUN 2024.

PELABUHAN KLANG – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengisytiharkan “perang” terhadap penyeludupan sisa elektronik (e-waste dan skrap logam) di seluruh pelabuhan di negara ini.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus memperkasa pemantauan dan penguatkuasaan bagi pengimportan e-waste yang digunakan oleh industri kitar semula.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengimport yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan termasuklah menghantar balik kontena e-waste import tersebut ke negara asal selaras dengan Artikel 9, Konvensyen Basel,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di sini, hari ini.

Nik Nazmi Nik Ahmad mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Klang berhubung kejayaan pihak Kastam membanteras kemasukan 106 kontena yang disyaki mangandungi sisa elektronik (e-waste) dan skrap logam haram ketika di Westport, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 JUN 2024.

Beliau berkata, sebarang pergerakan merentasi sempadan bagi buangan berbahaya hendaklah memenuhi sepenuhnya prosedur yang ditetapkan seperti mana mengikut Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya.

“Ia menjadi dasar negara untuk tidak membenarkan pengimportan e-waste.

“Tindakan akan diambil kepada pihak pengimport, ejen penghantaran dan logistik, pengangkutan kargo dan “liners/carriers” dalam pengimportan buangan berbahaya termasuk e-waste secara haram.

“NRES komited dan memandang serius sebarang aktiviti penyeludupan rentas sempadan.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap sebarang salah laku dalam memastikan negara tidak dijadikan tempat pelupusan buangan berbahaya,” katanya.

Untuk rekod, JAS merupakan agensi bertanggungjawab dalam mengawal pengimportan dan pengeksportan buangan yang diklasifikasi sebagai buangan berbahaya di bawah Konvensyen Basel sejak 1993.

Buangan tersebut dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. – MalaysiaGazette