Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada dalam situasi bersiap siaga sepenuhnya dalam mematahkan ideologi Daesh yang menjadi ancaman negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, elemen Daesh ketika ini masih wujud di sebalik beberapa siri tangkapan ke atas pengikut kumpulan itu yang dilakukan baru-baru ini.

Jelas beliau, hakikat pasukan polis berjaya mematahkan, mengenal pasti dan menangkap (ahli kumpulan Daesh) itu menunjukkan bahawa pihak keselamatan terutama polis berada dalam keadaan siap siaga sepanjang masa.

“Elemen (ideologi Daaesh) itu masih ada tetapi dalam kategori yang kita anggap dalam ruang atau batas upaya pasukan keselamatan untuk menanganinya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2024 dan sambutan Peringatan Hari Anti Dadah 2024 di sini hari ini.

Saifuddin Nasution sebelum itu ditanya pemberita berkenaan sama ada elemen dan ideologi Daesh di negara ini masih wujud atau sudah berjaya dihapuskan sepenuhnya selepas beberapa siri tangkapan ahli kumpulan itu.

Semalam, media melaporkan lapan warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dengan ideologi kumpulan pengganas Daesh dalam satu operasi serentak di empat negeri pada Sabtu dan Ahad lepas.

Tangkapan membabitkan enam lelaki dan dua wanita itu dibuat di Kelantan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Kesemua suspek yang berusia 25 hingga 70 tahun itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Berdasarkan siasatan, pihak berkuasa mengenal pasti modus operandi kumpulan itu yang menjadikan orang kenamaan dan pasukan polis sebagai sasaran utama yang berpotensi untuk diserang, apabila ideologi dan kepercayaan mereka tidak selari dengan pemerintahan kerajaan. – MalaysiaGazette