Antara 106 kontena yang disyaki mangandungi sisa elektronik (e-waste) dan skrap logam haram yang berjaya dibanteras oleh pihak Kastam ketika di Westport, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 JUN 2024.

PELABUHAN KLANG – Satu pertiga atau 106 dari 301 kontena yang ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini antara 21 Mac hingga 19 Jun lalu mengandungi sisa elektrik dan elektronik (e-waste).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pengimport yang membawa masuk bahan buangan secara haram itu mengaut keuntungan sehingga lebih RM8 juta.

“Anggaran kasar keuntungannya RM80,000 untuk satu kontena, kalau 106 ada lebih RM8.48 juta keuntungan diperoleh pengimport kalau e-waste ini dapat diproses.

“Kesemua kontena yang dibawa masuk dari Los Angeles, Amerika Syarikat ini diisytihar sebagai lain-lain barang untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Ada beberapa negara maju dari pihak membuat case study untuk kitar semula e-waste tapi sebenarnya mereka tidak proses, sebaliknya mereka hantar ke negara-negara membangun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Nik Nazmi, kes dagangan e-waste masih lagi dalam siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kesalahan bagi sebarang penempatan buangan terjadual sama ada di darat atau ke dalam perairan Malaysia, transit atau membenarkan ditransit e-waste tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Selain itu, sebanyak 195 kontena yang ditahan juga disyaki mengandungi skrap logam dan masih dalam tindakan siasatan JKDM yang tertakluk di bawah kesalahan di bawah Seksyen 135(1a) Akta Kastam 1967.

“Kesalahan itu kerana mengimport barangan larangan di bawah Butiran 5 Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Sebarang pengimportan skrap logam perlu mengikut tatacara yang telah digariskan oleh MITI di mana pihak pengimport perlu mendapatkan Certificate of Approval (COA) daripada SIRIM,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here