petrol
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti keperluan rasionalisasi subsidi dilaksanakan kepada petrol RON95 seperti penyasaran subsidi diesel yang dibuat pada 10 Jun lalu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, bagaimanapun kerajaan buat masa ini sedang menumpukan dan memberikan keutamaan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasarannya menjadi stabil, sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan.

Antaranya, untuk memperkukuh kemampanan fiskal negara serta mengurangkan ketirisan dalam pengagihan subsidi diesel.

“Sekiranya rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95 dilaksanakan pada masa akan datang, kerajaan akan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan golongan terkesan akan diberikan bantuan sewajarnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Rafizi menjawab pertanyaan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) sama ada kerajaan sedang dalam pertimbangan untuk melaksanakan pengurangan subsidi petrol yang akan memberi impak positif kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Rafizi (PH-Pandan) berkata, pelaksanaan pemberian subsidi diesel secara bersasar bermula 10 Jun turut dijangka dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun kepada kerajaan perpaduan.

Malah jelas Rafizi, pelaksanaan inisiatif penyasaran subsidi ini turut akan membantu kerajaan memperkukuhkan kedudukan fiskal dan mengoptimumkan sumber yang ada.

“Penjimatan daripada inisiatif penyasaran semula subsidi akan dipulangkan kepada rakyat melalui pelaksanaan program serta projek yang lebih memberi manfaat dan benar-benar diperlukan oleh rakyat.

“Ia seperti penambahbaikan dalam penyediaan perkhidmatan sosial serta kemudahan awam termasuk kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan keselamatan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata jualan diesel di sempadan menurun sehingga 40 peratus sejak penyasaran subsidi dilaksanakan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here