Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Trafik penumpang udara Malaysia meningkat 12.2 peratus tahun ke tahun kepada 8 juta pada Mei 2024, dan meningkat 0.8 peratus bulan ke bulan dari April 2024.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, peningkatan tersebut mencatatkan pertumbuhan dan pemulihan yang mampan dalam sektor penerbangan.

“Angka trafik bulan Mei 2024 menunjukkan daya ketahanan dan pemulihan berterusan dalam sektor penerbangan, terutamanya bagi trafik antarabangsa, yang merupakan penunjuk positif bagi kesihatan perjalanan dan pelancongan global,” katanya.

Mavcom berkata, walaupun terdapat sedikit penurunan dalam trafik domestik berbanding bulan sebelumnya, pertumbuhan berkenaan didorong oleh peningkatan perjalanan antarabangsa dengan kedua-dua rantau ASEAN dan bukan ASEAN.

Tambahnya, trafik penumpang udara bukan ASEAN mencatatkan peningkatan bulan ke bulan (MoM) tertinggi sebanyak 2.9 peratus, dari 1.9 juta pada bulan April ke 2.0 juta pada bulan Mei 2024 menyaksikan keseluruhan pertumbuhan MoM trafik antarabangsa sebanyak 2.2 peratus.

Setakat bulan Mei 2024, trafik domestik menyumbang sebanyak 48.3 peratus, manakala trafik antarabangsa pula menyumbang sebanyak 51.7 peratus daripada jumlah keseluruhan trafik penumpang tahun ini.

Peratusan taburan tersebut sejajar dengan trend pra-Covid, yang mana perjalanan antarabangsa kebiasaannya lebih tinggi.

“Pemulihan awal selepas pandemik menyaksikan perjalanan domestik pulih terlebih dahulu namun, fokus kini kembali beralih ke laluan antarabangsa.

“Peralihan ini mencerminkan trend yang lebih luas bagi peningkatan permintaan pengguna untuk perjalanan antarabangsa apabila pelancongan global pulih daripada sekatan akibat pandemik,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, untuk lima bulan pertama tahun 2024, trafik penumpang udara kumulatif mencatatkan 38.5 juta, peningkatan sebanyak 16.0 peratus tahun ke tahun (YoY) berbanding 33.2 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.

Katanya lagi, trafik penumpang udara antarabangsa melonjak kepada 19.9 juta, menandakan peningkatan sebanyak 38.3 peratus daripada 14.4 juta dalam lima bulan pertama tahun 2023.

Selain itu, trafik penumpang udara domestik mencatatkan kekurangan sebanyak 1.1 peratus YoY kepada 18.6 juta, berbanding 18.8 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Lonjakan ini menandakan pemulihan yang kukuh dalam industri penerbangan dan pemulihan laluan dan kekerapan antarabangsa.

“Dengan banyak pemulihan laluan antarabangsa dan peningkatan kekerapan penerbangan, kami menjangkakan trend ini akan berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here