Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Apresiasi 2024 Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konveksyen Antarabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 26 JUN 2024

PUTRAJAYA – Penjawat awam diingatkan agar tidak memburukkan keadaan dengan berperanan ‘tolong kipas’ serangan fitnah yang dibuat pembangkang terhadap kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, golongan itu sepatutnya mengambil tanggung jawab dengan mencari kebenaran di sebalik fitnah dilemparkan itu.

Jelas beliau, kerajaan tidak mempunyai masalah sekiranya penjawat awam mahu memberi teguran dalam menambah baik sistem perkhidmatan kepada rakyat negara ini.

“Bagi yang tidak tahu (fakta) tidak apa. Bagi penjawat awam tanggungjawab saudara mengambil tahu, jangan saudara saudari tolong kipas sama.

“Ada segelintir tetapi tidak hadir. Boleh kritik Anwar tidak laksana, ada kelemahan kerana dia tidak faham ini. Saya tidak ada masalah tetapi jangan fitnah dan itu yang saya hendak sampaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tahun 2024 Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan pingat perkhidmatan cemerlang kepada penerima pada Majlis Apresiasi 2024 Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konveksyen Antarabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 26 JUN 2024

Mengulas lanjut, Anwar turut menyelar kempen Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap apabila membuat fitnah ke atas dirinya sebagai anak angkat Amerika Syarikat (AS).

Lebih mengecewakan kata Perdana Menteri, tohmahan itu dibuat oleh seorang ustaz yang berpenampilan jubah dan berkopiah.

“Di Sungai Bakap, saya dipanggil anak angkat Amerika, Kementerian Kewangan pinjam dari IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan saya ikut nasihat Yahudi.

“Itu dari ustaz, pakai kopiah dan jubah tapi fitnah terang-terangan. Fakta di sebaliknya, mana mungkin saudara, saya lakukan itu semua.

“Saya perlu menjelaskan perkara in kerana bagi penjawat awam, saudara sebagai penjawat awam nak pertahankan Perdana Menteri bagaimana kalau jadi alat AS.  Sebab itu saudara-saudara (penjawat awam) harus tahu,” katanya. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Apresiasi 2024 Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konveksyen Antarabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 26 JUN 2024

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast