KUANTAN – Seramai tiga lelaki warganegara Kemboja ditahan dalam satu operasi membanteras pemburuan hidupan liar oleh Pasukan Taktikal Khas PERHILITAN (SPARTA) di Hutan Simpan Berkelah, di sini, kelmarin.
Pengarah Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, hasil pemeriksaan ke atas khemah warga asing tersebut turut menjumpai beberapa utas jerat dan bahagian hidupan liar beserta peralatan kerja dipercayai digunakan untuk mengambil hasil hutan.
Menurut beliau, ketiga-tiga suspek berusia antara 50 hingga 60 tahun direman selama tujuh hari sehingga 1 Julai depan untuk siasatan lanjut bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]/ Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646].
“Kerajaan komited untuk melindungi dan memelihara khazanah negara daripada sebarang ancaman jenayah terhadap hidupan liar di Malaysia.
“Orang ramai diseru untuk menyalurkan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar kepada Pejabat PERHILITAN terdekat atau melalui talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. – MalaysiaGazzete