Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 17 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen kerajaan terutamanya DAP digesa tidak bertindak melulu dengan menuduh beberapa wakil blok kerajaan cuba memboikot pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanajaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, gesaan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng supaya Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengambil tindakan terhadap dua Ahli Parlimen MCA yang tidak mengundi semalam juga keterlaluan.

“Saya cadangkan kepada Lim Lip Eng supaya jangan terlampau keterlaluan sangat dengan sikap keras DAP sahaja, siasat juga Perdana Menteri, TPM I dan II dan menteri DAP yang tidak mengundi untuk sokongan RUU kerajaan yang dicadangkan Menteri Pengangkutan daripada DAP.

“Berani ke tidak? kalau tidak, nanti ahli Parlimen PH yang lain cemburu, kalau berhasrat nak jadi Whip Kerajan jangan pilih kasih, whip (sebat) la semua

“Pukul sama rata barulah aci, kalau kerusi Ahli Parlimen kerajaan yang tidak mengundi semalam dipindahkan ke pembangkang ini parah. Ini bermaksud Perdana Menteri dan TPM pun kena tukar ke blok pembangkang mengikut logik Lim Lip Eng,” katanya dalam rakaman video di laman Facebooknya, hari ini.

Semalam, Lip Eng mencadangkan Johari agar mengambil tindakan terhadap Ka Siong dan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng yang didakwa tidak mengundi dalam RUU berkenaan.

Lip Eng berkata, langkah itu penting bagi memastikan tiada unsur-unsur khidnat mahupun boikot terhadap pembentangan RUU kerajaan.

Jelas Ka Siong, gesaan Lip Eng untuk menggesa Dewan Rakyat untuk menyiasat perkara itu amat menarik perhatian beliau.

Ka Siong berkata, sepatutnya Lip Eng mengambil kira pemimpin kerajaan yang tidak hadir kerana kekangan masa atau mempunyai tugasan di luar kawasan.

“Dia (Lim Lip Eng) tidak fikir antara 66 Ahli Parlimen yang tidak mengundi semalam termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri I (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan II (Datuk Seri Fadillah Yusof), Ahli Parlimen Teluk Intan (Nga Kor Ming), Bandar Tun Razak (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), Batu Kawan (Chow Kon Yeow), dan lain lain.

“Kita faham mungkin pemimpin negara, menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri atau Ahli Parlimen ada urusan di luar Parlimen ketika bersidang dan tidak sempat bergegas pergi ke mengundi disebabkan oleh pembangkang tiba-tiba menuntut pengundian secara belah bahagian,” kata Ka Siong.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang untuk membubarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah pada Isnin lalu diluluskan melalui undi suara majoriti selepas perbahasan hangat.

Dalam bacaan kali kedua RUU yang dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada sesi petang tadi diluluskan melalui undian blok dengan 93 menyokong, 63 menentang manakala 66 tidak hadir. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here