AMPANG – Lebih 10 orang wanita mengalami kerugian selepas menjadi mangsa penipuan kepada lelaki yang digelar Chia.
Menurut salah seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Low, yang berusia 32 tahun berkata, dia bukan sahaja kehilangan wang RM600,000 tetapi juga membenarkan suspek menggunakan namanya untuk membuat pinjaman Ah Long.
“Saya mula mengenalinya pada tahun 2017 dalam satu program. Kemudian kami menjalinkan hubungan pada tahun 2018.
“Dia mula mendakwa mengalami masalah kewangan dan mula meminjam Ah Long.
“Dia berjanji untuk membayar semula wang saya setelah mendapat keuntungan daripada perniagaannya,” katanya dalam sidang media di Biro Pengaduan MCA, di sini, hari ini.
Suspek, 34 tahun itu berjaya meyakinkan mangsa-mangsa apabila mendakwa dirinya merupakan kenalan ramai ahli politik ternama.
Low berkata, dia mula mengesyaki ditipu suspek setelah ramai yang mencarinya dengan memberitahu mereka telah ditipu oleh lelaki yang sama.
“Mereka meminta saya untuk membayar segala hutang Chia,” katanya.
Katanya, dia sudah memutuskan hubungan dengan suspek pada tahun 2022 dan tidak dapat menghubunginya kerana telah disekat.
Sementara itu, rakan kepada suspek, bernama James, 30, dan bekas pekerjanya, Teh masing-masing mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM181,400 dan RM10,000 kerana suspek tidak memulangkan semula wang pinjaman dan tidak membayar gaji pekerjanya.
Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, kes suspek telah memperdaya mangsa menggunakan modus operandi yang sama.
“Ramai mangsa telah pun menghidapi jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) akibat hubungan seks bersama suspek ,” katanya – MalaysiaGazette