OPR kenaikan guan eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng menggesa Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Khairul Firdaus Akbar Khan meneliti dan menyemak semula hasrat menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi pilihan umat Islam yang menekankan pelancongan Muslim.

Menurut Guan Eng, cadangan itu telah mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan pemain-pemain industri pelancongan yang sebelum ini telah melabur dan menyasarkan perniagaan mereka berdasarkan jenama Pulau Langkawi sebagai pusat peranginan bertaraf antarabangsa yang terbuka kepada semua.

Sehubungan itu, katanya, Khairul Firdaus perlu meneliti dan menyemak kembali cadangan tersebut bagi mengembalikan keyakinan dalam industri pelancongan Langkawi.

Jelas beliau, mengehadkan potensi Pulau Langkawi hanya pada mana-mana sektor khusus seperti pasaran pelancong Muslim akan menjadi tidak produktif kerana mengehadkan pasaran pelancongan bukan Islam.

“Langkawi sudah memiliki ramuan terbaik seperti UNESCO Global Geopark dan menjadi destinasi utama bagi pelancong Eropah, India dan China yang rata-ratanya merupakan pelancong bukan Islam.

“Maka, hasrat Khairul untuk menjenamakan semula Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim akan menyebabkan Langkawi kehilangan tarikan pelancong antarabangsanya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin lalu, Khairul Firdaus melahirkan cadangan menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim ekoran persaingan destinasi pelancongan terutama pulau dari negara jiran.

Sementara itu, Guan Eng mendakwa, ramai pemain di dalam industri pelancongan sama ada peniaga Muslim dan bukan Islam termasuk kedai bebas cukai kini bimbang kehilangan pasaran pelancong bukan Islam kerana pengumuman tersebut.

“Yang mendapat laba kelak sudah tentu destinasi pelancongan di negara jiran, hasil daripada kehadiran pelancong yang membatalkan niat mereka untuk ke Langkawi,” ujar beliau.

Tambah beliau, merencatkan pembangunan semula industri pelancongan di Langkawi itu juga bertentangan dengan usaha gigih yang dilakukan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing dengan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan dengan peningkatan ketibaan dan perbelanjaan pelancong. – MalaysiaGazzete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast