Menghasilkan seni ‘tampal dan selit’ guna fabrik kain batik dan songket, kraf tangan ini berjaya mencipta variasi seni yang mengenengahkan pakaian tradisonal dan budaya. Hanya menggunakan kain perca batik yang mudah didapati, penghasilan ‘patchwork’ atau seni tampal cantum tanpa menggunakan teknik jahitan kini antara yang popular. Bahan asas yang diperlukan form board yang telah digamkan, kain batik, gunting, pisau kraf, pita pelekat dan mounting board.
Mendapat inspirasi dan ilham dari negara Jepun yang dilawati kira-kira 10 tahun lalu, membuatkan pemilik LH Superb Ent, Raflly Nann, 59 dan isteri, Latifah Hamzah,58 kini beranikan diri dan giat memperluaskan karya seni berkonsepkan ‘patchwork’.
Namun, tidak semua mampu menghasilkannya kerana ia memerlukan tahap fokus dan ketelitian yang sangat tinggi. Menurutnya, fabrik kapas paling mudah dibentuk seperti kain batik. Lukisan ini dihasilkan dengan memotong fabrik mengikut bentuk diinginkan dan diselitkan dicelah papan styrofoam menggunakan pisau kraf. Pemilihan corak batik juga haruslah bersesuaian.
Orang ramai boleh mendapatkan lukisan dan melakukan sendiri ‘DIY’ yang terletak di Kompleks Kraf Malaysia, Kuala Lumpur untuk merasai pengalaman yang berharga. Bukan itu sahaja, jika tiada kepakaran untuk menyelit dan menampal, Raflly dan Latifah turut memberi tunjuk ajar agar seni seperti ini boleh diperluaskan.